Sokong proklamasi Melayu tiada kaitan parti politik, kata Samsuri


Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pertemuan beberapa pemimpin parti itu dengan Dr Mahathir minggu lepas tiada kena mengena dengan Dewan Negara atau Dewan Rakyat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2023.

SOKONGAN beberapa pemimpin PAS kepada Proklamasi Orang Melayu yang dikaitkan dengan Dr Mahathir Mohamad tiada kaitan dengan parti politik, kata Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau menjelaskan pertemuan beberapa pemimpin PAS dengan Dr Mahathir minggu lepas adalah untuk menyatakan komitmen dan persetujuan terhadap proklamasi berkenaan.

“Ia tiada kaitan dengan isu politik apatah lagi orang di dalamnya (Tun Mahathir) dan semua ahli jawatankuasa semuanya bukan ahli Parlimen pun,” katanya, menjelaskan pertemuan itu tiada kaitan dengan urusan di Parlimen.

“Pertemuan itu lebih kepada berbincang mengenai bagaimana mahu mengukuhkan proklamasi. Tiada kena-mengena dengan Dewan Negara atau Dewan Rakyat.

“Jadi tentulah, kalau mereka bersetuju sekali pun tidak beri kesan kepada kedudukan kerusi-kerusi dalam Parlimen, dalam Dewan Rakyat,” katanya, seperti dipetik Sinar Harian.

Pada 3 Mei, Presiden PAS Abdul Hadi Awang bersama Ahmad Samsuri serta setiausaha agung Takiyuddin Hassan dan penolongnya Shahir Sulaiman menandatangani Proklamasi Orang Melayu di kediaman Dr Mahathir.

Ketua Sekretariat Proklamasi Orang Melayu Marzuki Yahya berkata dukungan mereka menunjukkan agenda proklamasi merentas fahaman politik sebaliknya tegak untuk membela nasib dan masa depan Melayu dan Islam.

Semalam, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris sekali lagi menjelaskan sokongan beberapa pemimpin partinya juga bersifat individu dan bukan pendirian rasmi parti.

Sokongan mereka kepada proklamasi itu juga tiada kaitan dengan kerjasama politik menjelang enam pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Razali sebelum ini mendedahkan beliau dan dua pemimpin Bersatu iaitu timbalan presiden Ahmad Faizal Azumu serta Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menandatangi proklamasi pada satu majlis berbuka puasa dengan Dr Mahathir bulan lepas.

Pada 19 Mac lalu, Dr Mahathir mahu menghimpunkan orang Melayu dalam satu perhimpunan namun terpaksa dibatalkan selepas empat pemilik lokasi perhimpunan menolak tempahan penganjuran rapat umum itu.

Beliau kemudian mengumumkan Proklamasi Orang Melayu dalam satu sidang media yang menggantikan perhimpunan itu. – 9 Mei, 2023.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen