Tolak Pejuang elak ganggu pembahagian kerusi Perikatan, kata PAS


Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PN bimbang penyertaan Pejuang akan mengganggu proses perbincangan yang sedang berjalan ketika PRN di enam negeri semakin hampir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac 2023.

PERMOHONAN parti Pejuang untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) ditolak kerana mahu mengelak masalah pembahagian kerusi untuk menghadapi pilihan raya negeri akan datang, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

PN bimbang penyertaan parti baharu akan mengganggu proses perbincangan yang sedang berjalan ketika PRN di enam negeri semakin hampir, menurut timbalan presiden PAS itu seperti dilaporkan Free Malaysia Today (FMT).

“Masa dia masuk dekat PRN … parti komponen PN sudah bincang bila terima masuk ia mungkin akan mengganggu proses perbincangan yang sedang berjalan,” katanya.

Malah kata beliau Pejuang cuma ‘parti picisan’ yang tidak akan beri impak besar kepada usaha ‘penyatuan ummah’ yang sering dilaungkan PAS.

“Penyatuan ummah tidak akan berlaku sebab mereka bukan parti utama sepertimana Umno atau Bersatu.

“Walaupun Pejuang masuk pilihan raya, ia kalah hampir semua dan mereka akui hilang deposit,” katanya dipetik FMT.

Tuan Ibrahim menjelaskan mengenai keputusan PN minggu lalu yang menolak permohonan Pejuang untuk menyertai gabungan itu.

Sebelum itu Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir pada 2 Mac umum untuk menjadi sebahagian daripada PN.

Mukhriz dalam satu kenyataan berkata pertimbangan itu dibuat selepas pihaknya mendapati tidak memadai kerjasama pakatan pilihan raya diwujudkan hanya untuk mengelakkan pertindihan kerusi yang ditandingi terutamanya ketika perlu menggunakan lambang berasingan oleh kedua-dua pihak.

Walaupun tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Pejuang masih mempunyai wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dan Selangor.

Di Kedah, Pejuang diwakili Mukhriz selaku Adun Jitra dan Adun Anak Bukit Amiruddin Hamzah. Manakala Mohd Rosli (Jeram) dan Sallehudin Amiruddin (Kuang) di DUN Selangor.

Kerusi DUN Batang Kali yang sebelum ini disandang Harumaini Omar diumum kosong pada 16 Februari lalu kerana enam bulan gagal hadir ke persidangan tanpa sebab.

Pejuang ditubuhkan oleh Dr Mahathir Mohamad pada Ogos 2020 susulan bekas wakil rakyat Langkawi itu keluar Bersatu.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu meletak jawatan sebagai pengerusi Pejuang pada Disember tahun lalu selepas pencapaian mengecewakan Pejuang pada PRU15, yang kalah dan hilang wang deposit.

Kemudian pada Januari, Mukhriz umum keputusan Pejuang untuk keluar daripada gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang ditubuhkan sebelum PRU15.

Mukhriz berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan perwakilan pada perhimpunan agung kedua, susulan pencapaian parti yang teruk pada PRU15. – 24 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen