Selamat tinggal 2022, selamat sampai malapetaka cuaca


Hishamuddin Rais

DUNIA kita sekarang ini sedang berhadapan dengan tiga bahaya besar.

Bahaya pertama: Bahaya perang nuklear.

Bahaya kedua: Bahaya kekalutan peralihan teknologi. Bahaya ketiga: Bahaya malapetaka cuaca.

Bahaya malapetaka cuaca inilah yang ingin saya garap. Ini usaha kecil saya untuk menyebar pencerahan agar kita sesama sedar dan boleh melakukan sesuatu. Amin.

Tahun 2022 sudah berlalu. Warga dunia mengalu-alukan kesampaian tahun baru. Ibu kota dan kota-kota besar pesta-pestaan untuk menyambut tahun baru.

Kuala Lumpur berkabung. Banjir baru reda. Tanah runtuh di Batang Kali baru berlaku. Mayat bergelimpangan.

Seramai 31 menjadi korban, 54 dapat diselamatkan, tujuh masuk ke hospital. Dua anjing terkorban bersama tuannya dan seekor lagi dilaporkan masih hilang.

Selain tanah runtuh di Batang Kali, kita juga mengalami banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, dan Sabah.

Dilaporkan ada wilayah-wilayah yang tidak pernah dilanda banjir tapi kali ini air datang melimpah.

Juga dilaporkan keganasan banjir kali ini belum  pernah dialami. Ketinggian air yang melimpah juga dilaporkan mencecah tahap baru.

Lamanya hari air bertakung atau banjir termenung juga bertambah.

Musim panas di India dan Pakistan sampai pada Mei 2022. Cuaca panas amat terik.

Panas terik ini menjemput salji di pegunungan Himalaya menjadi cair. Air cairan salji ini merempuh masuk ke sungai Ganges dan Indus.  

Musim hujan monsoon tahunan sampai ke Pakistan. Pada 14 Jun 2022 hujan lebat turun untuk beberapa hari.

Sungai Indus di Pakistan yang dipenuhi oleh air salji cair dari pegunungan Himalaya kini ditambah dengan air hujan dari sawah dan ladang.

Akibatnya banjir mengganas. Seramai 33 juta  daripada 225 juta warga Pakistan menjadi mangsa bencana banjir.

Seramai 1,739 warga Pakistan mati. Hampir 3 juta keluarga kehilangan rumah. Lebih 2 juta ekor lembu, kerbau dan kambing mati.

Kerugian lebih daripada AS$14 bilion. Angka dan data ini dipungut daripada Wikipedia,

Tiga bulan sesudah banjir masih ada lagi kawasan yang ditenggelami air.

Pakistan memerlukan AS$30 bilion untuk memperbaiki kerosakan akibat banjir pada 2022.

Ketika Pakistan banjir India dan Bangladesh juga mengalami bencana banjir yang sama. Sungai Ganges melimpah. Malah di India hampir setiap minggu ada sahaja banjir, ada tanah runtuh dan angin taufan yang melanda.

Ketika hujan sampai dan tanah runtuh di Father’s Organic Farm di Batang Kali, Somalia dilanda musim kemarau.

Somalia terletak di Timur Afrika – di wilayah yang dikenali sebagai Tanduk Afrika telah mengalami kemarau selama empat musim. Tahun 2022 adalah musim kelima hujan tidak sampai.

Badan Unicef (United Nation Children Fund)  – melaporkan akibat kemarau berpanjangan 8.1 juta penduduk wilayah Tanduk Afrika tidak ada bahan makan yang mencukupi.

Seramai 6.4 juta warga tanpa bekalan air. Seramai 3.5 juta kebuluran. Seramai 1.3 juta ibu dan anak kecil kekurangan makanan. Suasana ini ditambah bala serangan penyakit kolera.

Ketika warga Afrika Timur bulur menjadi orang pelarian mencari air dan makan, lembah Yangtze Kiang dari Shanghai ke Sichuan berhadapan dengan kemarau. Sungai Yangtze kering. Suhu panas naik ke 40 darjah Celsius.

Kemarau musim panas di China ini melibatkan 900 juta penduduk di 27 buah provinsi.

Apa sebenarnya berlaku?

Semua ini akibat pemanasan dunia.

Apa itu pemanasan dunia atau global warming?

Dari fakta sejarah peribadi, saya sendiri telah mendengar istilah ini pada 1976. Ketika itu saya berkelana di Melbourne, Australia.

Saya ternampak cakaran di tembok bangunan kedai: Beware of Ozone Layer – Waspada pada lapisan ozon. Saya yang bukan daripada jurusan sains tidak memahami apakah itu ozone layer.

Hari ini saya cuba memperbaiki kebebalan saya itu. Hari ini saya mencari dan membaca kitab. Saya berniat untuk menjadi seorang alim yang warak agar dapat saya menjadi pendakwah pemanasan dunia dan malapetaka cuaca.

Dari apa yang saya baca – bumi kita ini terbentuk 46 bilion tahun dahulu. Cuaca dunia ini kompleks, bergerak berubah mengikut masa.

Cuaca inilah yang menjadi penentu tamadun umat manusia. Cuaca menentukan tegak dan runtuhnya tamadun manusia.

Cuaca dunia ini bergantung kepada tenaga yang datang dari pancaran sinar matahari. Tenaga matahari ini juga bergantung pada gerak laku matahari yang berlegar.

Pemanasan dan suhu sinar matahari ini bergantung kepada beberapa fakta: atmosfera, letak benua bumi, air lautan dan pergerakan air laut.

Semua ini bantu membantu menjadikan cuaca yang kita fahami sebagai cuaca.

Secara terperinci kita tak ambil pot kerana semuanya bergerak seperti perkara biasa.

Jutaan tahun yang lalu ada variasi pusingan yang mempengaruhi berapa banyak tenaga cahaya matahari yang sampai ke bumi.

Justeru, warga Mesir kuno telah memahami peranan cahaya matahari. Sebelum kenal Allah, warga Arab Mesir telah mewujudkan Ra. Ini tuhan pertama. Mesir kuno menyembah Ra yang diwakili oleh matahari.  

Ra inilah yang menjaga langit, bumi dan semua yang wujud di bumi dan alam semesta.

Arab Mesir memahami matahari yang menjaga cuaca.

Arab Mesir kuno percaya Ra membentuk musim, mewujudkan tanaman, hidupan binatang termasuk umat manusia.

Pertama edaran bumi mengelilingi matahari berubah dalam masa 100,000 tahun.

Kedudukan Kutub Utara dan Selatan juga ada variasi 60,000 tahun sekali. Ada peningkatan setiap 15,000 tahun, hemisfera akan merapati matahari.

Tiga fakta ini mempengaruhi pusingan cuaca di zaman Quaternary dan di zaman Geoloji yang bermula dua juta setengah tahun dahulu.

Justeru dunia mengalami zaman air batu selama 100,000 tahun. Kemudian zaman yang agak panas sampai selama 10,000 ke 20,000 tahun.

Peralihan antara zaman air batu dan zaman panas ini berlaku 1 juta tahun. Peralihan ini mengubah rupa bentuk permukaan bumi kita ini.

Kali akhir zaman air batu berlaku 20,000 tahun dahulu. Amerika Utara, Greenland dan benua Eropah semuanya dibaluti oleh salji setebal 2 batu.

Di laut Tengah ada penguin dan anjing laut. Air laut ketika itu hanya 400 kaki dalamnya.

Kemudian 11,000 tahun dahulu dunia makin panas; hutan muncul, binatang muncul. Manusia mula duduk setempat.

Manusia mula mengubah kawasan tempat mereka hidup.

Umat manusia mula bercucuk tanam dan memelihara bintang ternakan.

Perbezaan cuaca bumi pada zaman air batu dengan cuaca hari ini hanya 5 darjah Celsius.

Cuaca bumi kita ini berubah ubah sepanjang zaman. Maka ada spesis haiwan yang pupus.

Semenjak 100,000 tahun yang berlalu cuaca bumi kita ini agak stabil. Ada variasi ketika zaman-zaman ini yang memberi kesan pada manusia.

Tapi kesannya tidak mengancam berbanding dengan zaman seperti zaman air batu.

Bila cuaca stabil maka tamadun manusia lahir.

Tamadun manusia pertama  bercucuk tanam bermula di wilayah Turki dan Iraq. Ini tamadun Mesepotamian di lembah sungai Dajlah dan Tigris.

Dari wilayah inilah lahir tamadun Sumerian, Assyrian, Akkadian dan Babylonian.

Bukti menunjukkan tamadun ini ada teknologi, ada seni sastera, ada hukum hakam, ada konsep agama dan perkembangan reka bentuk bangunan.

Tamadun ini wujud 4,000 tahun dahulu. Ia lebih awal daripada agama Yahudi, agama Kristian dan  Islam.

Kalau kita membaca buku History of God  – Sejarah Tuhan – garapan Karen Amstrong, maka kita akan menemui bagaimana konsep Tuhan Yang Maha Esa muncul di wilayah Iraq.

Saya menuliskan perkara ini sebagai perjalanan tamadun manusia yang baru berumur 10,000. Ini semenjak datuk nenek moyang manusia mula bangun dan berjalan. Dari beruk di atas pokok turun ke bumi, bangun tegak berdiri menggunakan kaki untuk berjalan.

Memahami sejarah tamadun manusia ini penting dalam usaha kita untuk berhadapan dengan malapetaka cuaca yang sedang melanda kita.

Melihat ke belakang untuk memahami apa di hadapan kita.

Ini sejarah manusia dari kajian ilmiah dan wujud bahan bukti. Semua ini bukan “fake news – berita palsu” dari Hikayat Seribu Satu Malam.

Memahami perjalanan manusia beribu-ribu tahun ini secara tuntas amat penting untuk kita memahami pemanasan dunia yang sedang berlaku hari ini.

Dunia kita telah mengalami pelbagai malapetaka. Letupan gunung berapi yang menghasilkan debu mengelilingi dunia. Juga mengakibatkan cuaca menjadi sejuk kerana debu menghalang sinar matahari.

Pantulan cahaya matahari dari kutub utara dan selatan  memainkan peranan mengawal suhu bumi kita.

Salah satu mekanisme pantulan ini ialah apa yang kini dikenali sebagai Efek Rumah Hijau – Greenhouse Effect.

Atmosfera yang kita lihat di langit yang mengelilingi bumi kita ini agak nipis. Hanya beberapa batu tebalnya. Atmosfera ini terdiri dari oksigen dan nitrogen.

Ada juga gas yang lain tapi amat sedikit untuk mengubah keadaan.

Gas inilah yang menjadi penapis sinaran cahaya matahari. Gas ini juga menjadi penapis wap yang naik dari bumi kita.

Gas di Rumah Hijau ini terdiri dari wap air, karbon dioksida, methane, nitrous oxide dan ozone.

Semua ini tersusun dengan stabil. Panas cahaya dari matahari ditapis. Panas wap dari bumi naik ke udara juga di tapis.

Bila kestabilan ini terganggu maka atmosfera dalam atmosfera yang mengelilingi bumi terganggu.

Gangguan ini mewujudkan efek Rumah Hijau.

Apa yang mengganggu? Siapa yang mengganggu?

Perlukah saya menjawabnya. Sila tunggu pencerahan seterusnya. Amin. – 3 Januari, 2023.
 

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen