Aktivis desak kerajaan utamakan alam sekitar


Raevathi Supramaniam

Aktivis berkata Malaysia perlu berhenti beri tumpuan kepada projek infrastruktur selepas berlakunya banjir besar yang memusnahkan sebahagian besar Lembah Klang dan negeri lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2022.

BANJIR baru-baru ini yang memusnahkan sebahagian besar Lembah Klang dan beberapa negeri lain menunjukkan Putrajaya perlu berubah dari melaksanakan projek pembangunan kepada mengutamakan alam sekitar dan rakyat, kata aktivis.

Mereka berkata Malaysia perlu mengutamakan daya tahan iklim dan penyesuaian untuk negara berpeluang menentang bencana alam masa depan.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil berkata Malaysia mesti berhenti memberi tumpuan kepada projek infrastruktur.

“Malaysia tidak pernah mengutamakan alam sekitar, ia tidak pernah menjadi agenda pertama. Kita nak bina yang paling tinggi, terbesar. Mereka hanya tahu membuat projek, membina dan memusnahkan hutan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kami sudah memberitahu mereka segala-galanya perlu seimbang. Kita memerlukan sekurang-kurangnya 50% daripada hutan kerana ia adalah tadahan air kita,” katanya.

Apabila bencana alam berlaku, daripada mencari punca dan membetulkannya beliau berkata kerajaan mengutamakan pemberian wang tunai.

“Malaysia mengalami hujan sepanjang tahun, jika ia tidak berhenti (tanpa hutan) ia akan menjadi malapetaka. Kita tidak boleh menyalahkan cuaca, kita berada di khatulistiwa dan hutan melindungi kita,” katanya.

Peka mencadangkan 20 penyelesaian termasuk pindaan kepada undang-undang untuk meletakkan kerajaan persekutuan bertanggungjawab ke atas hutan dan bukannya kerajaan negeri.

Cadangan lain termasuk mewartakan Banjaran Titiwangsa sebagai taman negara, menghentikan pembalakan dan perlombongan yang tidak beretika, memulihkan hutan yang hilang dan membina infrastruktur tebatan banjir.

Hujan lebat pada 18 hingga 19 Disember lalu menyaksikan beberapa negeri ditenggelami banjir dengan paras air mencecah bumbung.

Di Shah Alam dan Hulu Langat ramai yang terkandas di atas bumbung selama berhari-hari menunggu untuk diselamatkan manakala ada yang rumah mereka dihanyutkan arus deras.

Di Karak dan Bentong di Pahang, hujan lebat menyaksikan kayu balak dari hutan dihanyutkan ke bandar dan memusnahkan kediaman.

Jabatan Perhutanan menafikan terdapat sebarang aktiviti pembalakan di kawasan itu.

Sehingga kini beribu-ribu masih berada di pusat pemindahan di seluruh negara manakala sekurang-kurangnya 48 maut akibat banjir.

Penyesuaian iklim

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meena Raman berkata Malaysia perlu mula melabur dalam pelan dan langkah penyesuaian.

“Tindak balas segera diperlukan sekarang dan kita boleh belajar daripada apa yang dilakukan oleh negara lain.

“Kita perlu membunyikan loceng penggera dengan lebih kuat dan menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim ‘normal-baharu’. Kami juga perlu bersedia menghadapi situasi di mana penyesuaian tidak lagi dapat dilakukan,” katanya.

Malaysia tidak lagi boleh berpura-pura ia adalah satu bentuk perniagaan dan terus membina lebih banyak lagi tanpa mengambil kira kesan iklim, tambah Meena.

“Pelan penyesuaian segera yang merangkumi pendekatan berasaskan ekosistem diperlukan untuk memastikan bangunan, infrastruktur dan kawasan pantai berdaya tahan terhadap ribut, peningkatan hujan, menahan banjir dan kenaikan paras laut dan sebagainya.

“Langkah pemuliharaan hutan dan tanah termasuk perlindungan kawasan tadahan air serta sungai untuk mencegah dan mengurangkan banjir menjadikan kawasan bandar sebagai ‘bandar span’ dan pengukuhan pantai kita melalui perlindungan dan pemulihan hutan bakau adalah semua bahagian penting dalam rancangan itu. 

“Langkah yang lebih komprehensif juga diperlukan dalam menangani kemarau, gelombang panas, kekurangan air, kesan kepada pertanian, kesihatan, cuaca ekstrem dan bencana,” katanya.

Jika gagal Malaysia akan berdepan akibat yang besar dan banjir baru-baru ini hanyalah permulaan, tambahnya. – 1 Januari, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen