Australia berdepan kebakaran di barat, banjir di timur 


Cuacfa panas yang melanda pantai barat Australia mencetuskan kebakaran belukar.– Gambar EPA, 10 Disember, 2021.

AUSTRALIA  bergelut dengan dua bencana alam Jumaat, dengan kebakaran belukar melanda kawasan pantai barat, manakala banjir serius dan hujan lebat melanda timur negara itu.

Selepas berminggu-minggu merekodkan suhu tinggi, kebakaran mula melanda kawasan tumpuan pelancong barat Margaret River—terkenal dengan wain dan ombak besar.

Tiada kerosakan rumah atau kecederaan dilaporkan, namun api telah dilihat di kawasan yang luas, menyebabkan kepulan asap.

Amaran kecemasan dikuatkuasakan dan beberapa penduduk telah diarahkan berpindah ke kawasan yang lebih selamat

“Bertindak segera untuk terus hidup,” kata Jabatan Bomba dan Perkhidmatan Kecemasan negeri.

Walaupun pantai Lautan Hindi Australia berdepan cuaca panas yang mencecah 40 darjah Celsius, di seberang benua, Pantai Pasifiknya dilanda hujan sejak beberapa bulan lalu.

“Pusat tekanan rendah telah terbentuk di luar pantai selatan New South Wales yang membawa hujan lebat dan banjir besar,” kata Biro Meteorologi.

Beberapa kawasan luar bandar di selatan Sydney—dilanda kebakaran belukar paling teruk di negara itu tepat dua tahun lalu—telah menerima hujan 21 sentimeter (lapan inci) dalam tempoh 24 jam terakhir sahaja.

November adalah yang bulan paling lembap dalam 122 tahun rekod dan antara yang paling sejuk, apabila fenomena cuaca La Nina berlaku.

Para saintis percaya cuaca ekstrem Australia telah menjadi lebih buruk oleh perubahan iklim buatan manusia. – AFP, 10 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen