Hujan lebat diramal landa Jepun


Cuaca mendung atau hujan dijangka berterusan sehingga Isnin di bandar Atami.– Gambar EPA, 9 Julai, 2021.

AGENSI Meteorologi Jepun (JMA) pada Khamis mengeluarkan amaran kejadian tanah runtuh dan banjir berikutan hujan lebat diramal melanda kebanyakan kawasan, lapor Agensi Berita Xinhua.

Media tempatan memetik laporan JMA, hujan lebat dijangka melanda di bahagian barat dan timur.

Bandar Atami diramal mengalami ribut petir pada Khamis, selepas dilanda tanah runtuh minggu lalu yang menyaksikan 20 orang dilaporkan hilang.

Selain itu, cuaca mendung atau hujan dijangka berterusan sehingga Isnin di bandar berkenaan. 

Hujan melanda sebahagian kawasan pantai barat di sepanjang perairan pantai Jepun pada Rabu. Amaran kejadian tanah runtuh turut dikeluarkan untuk wilayah Shimane, Tottori, Hiroshima, Okayama dan Hyogo.

Hujan lebat, ribut petir dan kilat diramal melanda bahagian timur dan barat sehingga Jumaat.

Sebahagian kawasan barat dijangka menerima 150 milimeter taburan hujan dalam tempoh 24 jam hingga Jumaat pagi, manakala di bahagian tengah pula diramal menerima curahan hujan sebanyak 100 milimeter. – Bernama, 9 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen