Nilai semula pengurusan bencana, kata pakar


Hailey Chung Wee Kye

Profesor Kehormat di Jabatan Geografi Universiti Malaya (UM) Azizan Abu Samah berkata Selangor dan Kuala Lumpur bersikap sambil lewa dalam menguruskan banjir berbanding kawasan pantai timur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 Disember 2021.

PENGAJARAN daripada banjir terburuk yang melanda lembah Klang hujung minggu lalu adalah semua pihak berkepentingan perlu melihat semula bagaimana mereka menangani bencana iklim seperti itu pada masa depan, kata pakar.

Mereka berkata kepekaan terhadap amaran awal mengenai ramalan banjir kilat sangat penting dalam mengurangkan episod menyakitkan dan trauma yang perlu ditanggung negara dan rakyatnya.

Profesor Kehormat di Jabatan Geografi Universiti Malaya (UM) Azizan Abu Samah berkata Selangor dan Kuala Lumpur bersikap sambil lewa dalam menguruskan banjir berbanding kawasan pantai timur.

Beliau berkata pihak berkuasa, orang awam dan media di Selangor serta Kuala Lumpur tidak dilatih untuk menangani krisis dengan lebih baik.

“Selangor dan Kuala Lumpur tidak biasa dilanda banjir berbanding Kelantan dan Pahang,” katanya.

“Penduduk di sana lebih sehaluan untuk menangani situasi itu, dengan pihak berkuasa mengetahui bila untuk mengaktifkan jentera bantuan dengan cepat.”

Pakar meteorologi itu berkata orang ramai tidak diberi amaran mengenai hujan lebat, manakala banyak sungai sudah berada pada paras berbahaya pada Khamis lalu.

“Banjir di Malaysia adalah perkara biasa, namun masalahnya di mana ia akan berlaku. Biasanya di pantai timur,” kata Azizan yang juga felo Akademi Sains Malaysia.

Beliau percaya magnitud kerosakan boleh dielakkan jika ada persediaan lebih baik kerana corak cuaca sudah menunjukkan ribut akan datang.

“Ini adalah malapetaka kerana tiada persiapan. Memerhatikan hujan lebat yang berterusan, kereta boleh dihalang daripada diletakkan di tingkat bawah tanah, orang ramai boleh dikosongkan dari kawasan rendah,” katanya.

Azizan juga mengulas bahawa laman web kerajaan mengenai maklumat banjir juga tersekat, dalam beberapa keadaan, selepas mengalami trafik digital padat pada hujung minggu.

“Laman web itu juga tidak selamat sehingga sesiapa sahaja boleh melakukan serangan siber,” katanya.

Pengurusan bencana lemah

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menyifatkan pengurusan kecemasan dan bencana negara adalah lemah.

Presiden Peka Shariffa Sabrina Syed Akil berkata mekanisme yang kononnya sudah ada tidak dapat mengukur sehingga banjir sudah memuncak.

“Pusat panggilan telah disediakan tetapi di manakah pasukan penyelamat?” kata aktivis alam sekitar itu kepada The Malaysian Insight.

“Sepatutnya terdapat berpuluh-puluh bot dan ratusan penyelamat di lokasi banjir pada peringkat awal paras air meningkat.”

Beliau berkata ketika krisis melanda, panggilan kecemasan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pertahanan Awam dan polis tidak dijawab.

Syarikat utiliti juga tidak dapat menghubungi stesen yang rosak untuk melakukan pembaikan atau mengubah laluan perkhidmatan utiliti, tambah Shariffa.

“Pengurusan kecemasan dan bencana negeri dan negara perlu dipandang serius dan ditambah baik sebelum banjir setengah abad atau seabad melanda.

“Bayangkan jika awan hujan kekal untuk beberapa hari sahaja lagi,” katanya.

Shariffa mencadangkan lebih banyak majlis bencana yang dikendalikan komuniti dibentuk dengan sokongan kewangan dan latihan daripada kerajaan.

Justifikasinya ialah mereka yang berada dalam “ground zero” membantu penduduk terjejas adalah lebih cepat sebelum kerajaan mengambil alih tugas.

“Menteri dan ahli politik harus menugaskan universiti untuk merangka protokol pengurusan bencana yang lebih baik dan mengujinya untuk menambah baik dan melaksanakannya.

“Kita mempunyai kepakaran di universiti untuk menjalankan pengajian dan menasihati kerajaan.

“Pada masa ini, mereka datang selepas bencana berlaku dan menerangkan bagaimana mereka boleh menguruskan dengan lebih baik,” katanya.

Shariffa menekankan bahawa banjir juga jelas menunjukkan pengurusan alam sekitar mesti diutamakan.

“Benarkan alam semula jadi menjadi penampan untuk melembutkan kerosakan yang disebabkan oleh corak cuaca daripada pemanasan global dan bencana perubahan iklim susulannya,” katanya. – 21 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen