Malaysia perlu darurat iklim bagi hentikan tragedi, kata aktivis alam sekitar


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Anwar Ibrahim harus mengutamakan isu iklim kerana bencana alam sering berlaku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2022.

KERAJAAN mesti mengisytiharkan darurat iklim pada kadar segera bagi menangani bencana alam secara berkesan sebelum tragedi lebih buruk berlaku, kata aktivis alam sekitar.

Mereka berkata negara tidak mampu menanggung lebih banyak kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda dan tempat tinggal.

Mereka juga berkata cadangan untuk mengisytiharkan darurat iklim bukanlah perkara baru kerana kumpulan tindakan iklim pernah mendesak kerajaan terdahulu supaya melihat isu itu secara teliti. Bagaimanapun, gesaan mereka tidak dipedulikan.

Menurut aktivis alam sekitar, Perdana Menteri Anwar Ibrahim harus mengutamakan isu iklim kerana bencana alam sering berlaku.

Sabtu lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kementeriannya sedang merangka beberapa inisiatif utama untuk menangani perubahan iklim.

Pengerusi Persatuan Kesedaran dan Keadilan Iklim Malaysia (Kamy) Ili Nadiah Dzulfakar berkata isu di Malaysia bukan sahaja mengenai banjir yang melanda setiap tahun tetapi juga kelemahan perancangan bandar dan infrastruktur kalis bencana bagi membantu menyelamatkan nyawa.

Beliau berkata dengan mengisytiharkan darurat iklim, Malaysia boleh bergerak untuk menarik semua sumber dan mengenal pasti pelan fiskal termasuk mendapatkan bakat tempatan di luar negara supaya pulang dan membantu membina persekitaran lebih baik.

“Kerajaan perlu mengisytiharkan darurat iklim kerana terdapat begitu banyak kematian tahun ini, tahun sebelumnya dan tahun-tahun sebelumnya. Tetapi tiada tindakan diambil kerajaan.

Tragedi tanah runtuh yang melanda Batang Kali minggu lalu meragut 31 nyawa melibatkan 18 dewasa dan 13 kanak-kanak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2022.

“Ia bukan sahaja mengenai banjir dan tanah runtuh, kita juga bercakap tentang gelombang haba. Gelombang haba berlaku sepanjang musim, dan kemudian musim tengkujuh sepanjang masa tetapi infrastruktur, pendidikan mengenai iklim dan usaha untuk menjadikan alam sekitar kita lebih baik tidak dilaksanakan.

“Kita hanya tunggu dan lihat sebelum bertindak serta cuba menyelesaikannya. Bukan itu caranya. Kita perlu mengelak sesuatu tragedi daripada berlaku,” kata Ili.

Minggu lalu, tragedi tanah runtuh yang melanda Batang Kali meragut 31 nyawa melibatkan 18 dewasa dan 13 kanak-kanak.

Seramai 61 mangsa terselamat. Mayat mangsa terakhir dipercayai kanak-kanak lelaki berusia antara tujuh dan 12 tahun ditemui jam 4.53 petang pada hari kesembilan usaha mencari dan menyelamat Sabtu lalu.

Ogos lalu, Menteri Alam Sekitar dan Air ketika itu Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerajaan tidak perlu mengisytiharkan darurat iklim, sebaliknya pihak berkuasa melancarkan beberapa inisiatif untuk menangani kesan perubahan iklim.

Tuan Ibrahim berkata Malaysia memberikan komitmen untuk mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau (GHG) tanpa syarat serta mencapai pelepasan sifar bersih GHG seawal 2050.

Walaupun pertukaran kerajaan pada November, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail juga mengulangi nada yang sama, sambil berkata banjir yang melanda beberapa negeri di negara ini tidak menjamin kerajaan mengisytiharkan darurat iklim.

Beliau berkata terdapat proses dan penilaian tertentu yang perlu dijalankan sebelum pengisytiharan sedemikian boleh dibuat.

Kesedaran sangat diperlukan

Mengulas kenyataan Saifuddin, Ili berkata kerajaan baharu mesti berusaha menyelamatkan nyawa.

“Adalah salah untuk mengatakan kita masih terkawal walaupun ramai terkorban setiap tahun akibat bencana alam. Bersediakah kita untuk menghentikan kejadian tanah runtuh atau bersediakah membantu rakyat menyelamatkan harta benda mereka setiap kali banjir?

“Jawapannya tidak, kita tidak bersedia. Banyak perkara yang perlu diperbaharui, kita perlu menambah baik infrastruktur, kita memerlukan penggubal undang-undang untuk memahami perubahan iklim dengan lebih baik dan menyokong sebarang jenis pembaharuan di Parlimen.

“Kalau kita kata kita terkawal, adakah kita berjaya mengawal korban dalam tanah runtuh di Batang Kali?” tanya Ili.

Menurut aktivis alam sekitar, negara tidak mampu menanggung lebih banyak kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda dan tempat tinggal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2022.

Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY) berkata, urusan pertama kerajaan perpaduan Anwar ialah membentangkan Bajet 2023 untuk menangani pemulihan ekonomi, iklim, alam sekitar dan krisis hak asasi manusia selepas Covid-19.

Sementara itu, Naib presiden EcoKnights Amlir Ayat berkata walaupun adalah baik untuk kerajaan mengisytiharkan darurat iklim, namun terdapat beberapa aspek yang perlu disegerakkan.

Tegasnya, perkara itu perlu dirancang dengan teliti dan melibatkan pakar serta aktivis daripada pelbagai bidang.

“Ia termasuk kriteria yang jelas untuk pelaksanaan darurat, tindakan yang perlu diambil relevan dengan Malaysia dan keadaan tempatan kita, serta kesannya terhadap pelbagai aspek sosial dan ekonomi negara.

“Bergantung kepada kandungan, pengisytiharan itu mungkin memberi kesan bukan sahaja kepada sektor ekonomi tetapi juga sosial yang ketara.

“Apa yang penting bukan pengisytiharan tetapi kesedaran kita, terutamanya di peringkat pengurusan negara bagi mengambil langkah yang sesuai berdasarkan keadaan dan kemampuan kita,” katanya. – 26 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen