Perancis dilanda gelombang haba ketiga


Keadaan Sungai "La Savoureuse" di Belfort timur Perancis yang kering-kontang. – Gambar AFP, 13 Ogos, 2022.

GELOMBANG haba di Perancis mencapai paras kemuncak apabila suhu maksimum mencecah antara 38 dan 41 darjah Celsius pada Jumaat lapor Meteo-France.

Sejak gelombang haba ketiga melanda pada musim panas tahun ini terutamanya di kawasan Mediterranean bermula 31 Julai lalu, cuaca panas kini mula merebak ke barat daya dan pantai Atlantik.

Walaupun cuaca tidak sepanas pada Jun dan Julai namun suhu masih di paras tinggi untuk jangka masa yang lebih lama.

Pada bulan Julai Perancis mengalami defisit hujan buat pertama kali dalam sejarah negara apabila hampir tiada hujan pada awal Ogos kecuali beberapa kejadian ribut petir terutama di Alps, Corsica dan Pyrenees.

Justeru kenaikan suhu terbaru ini akan memburukkan lagi kemarau yang sudah melanda sebahagian  kawasan lapor Xinhua.

Sejak 17 Julai kemarau di Perancis telah mencatatkan rekod baharu sejak rekod yang dicatatkan pada Ogos 1958.

Sehingga 8 Ogos lalu kemarau telah menjejaskan seluruh kawasan metropolitan yang disifatkan setanding dengan kemarau pada tahun 1976 dan 2003 menurut Meteo-France. – Bernama, 13 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen