2 maut gempa bumi kuat di Jepun


Kaki lima rosak di Fukushima, timur laut Jepun, akibat gempa bumi berukuran 7.3 pada skala Richter melanda timur laut Jepun semalam. – Gambar EPA, 17 Mac, 2022.

DUA orang terbunuh dan puluhan cedera dalam gempa bumi kuat malam tadi yang menggegarkan sebahagian besar timur Jepun dan mencetuskan amaran tsunami, kata pihak berkuasa pada Khamis.

Penduduk dan pegawai di timur laut negara itu masih cuba menilai kerosakan awal pada Khamis, selepas gempa bumi berukuran 7.4 magnitud melanda sejurus sebelum tengah malam.

Amaran tsunami bagi gelombang sehingga satu meter di bahagian timur laut Jepun ditarik balik pada awal pagi Khamis, selepas pihak berkuasa merekodkan paras air sehingga 30cm lebih tinggi daripada biasa di beberapa kawasan.

Beberapa gegaran kecil terus melanda wilayah itu sepanjang malam dan pagi Khamis.

Laporan awal kerosakan kelihatan agak kecil, di negara dengan kod bangunan yang kukuh bertujuan untuk melindunginya daripada kemusnahan akibat gempa bumi yang kerap, dan pegawai berkata tiada aktiviti luar biasa di loji nuklear.

“Kami sedang melakukan yang terbaik untuk menilai tahap kerosakan,” kata jurucakap kerajaan Hirokazu Matsuno kepada pemberita semalam.

“Gegaran susulan besar sering berlaku beberapa hari selepas gempa pertama, jadi sila jauhi mana-mana bangunan runtuh… dan tempat berisiko tinggi lain,” tambahnya.

Dua orang terbunuh dalam gempa itu, seorang di wilayah Fukushima dan satu lagi di Miyagi, menurut Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana, dengan lebih 90 orang cedera di beberapa wilayah.

Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 60km dari pantai Fukushima dan didahului beberapa minit sebelum itu oleh satu lagi gegaran kuat 6.1 magnitud di kawasan yang sama, kata Agensi Meteorologi Jepun.

Gegaran pada waktu malam berlaku hanya beberapa hari selepas Jepun menyambut ulang tahun ke-11 gempa bumi besar yang mencetuskan tsunami dan malapetaka nuklear Fukushima.

Gempa itu menggegarkan ibu negara dan menyebabkan beberapa bahagian Tokyo dan kawasan lain menjadi gelap.

Kira-kira 2 juta rumah terputus bekalan elektrik di ibu negara dan tempat lain sejurus selepas gempa bumi, tetapi ia beransur-ansur pulih sepanjang malam. 

Kira-kira 35,600 rumah di kawasan Miyagi dan Fukushima masih terputus bekalan elektrik pada pagi Khamis, kata firma elektrik Tepco.

Pihak berkuasa nuklear Jepun berkata tiada aktiviti luar biasa dikesan di loji Fukushima yang terjejas pada 2011 apabila tsunami melanda, manakala pam untuk kolam penyejuk di beberapa reaktor dihentikan buat sementara waktu tetapi beroperasi semula sejurus selepas itu.

Beberapa kerosakan dilaporkan, termasuk tembok batu runtuh di tapak istana Aoba di bandar Sendai, dan kereta api laju Shinkansen tergelincir di utara bandar Fukushima.

Tiada kecederaan dalam kejadian itu, tetapi 75 penumpang dan tiga kakitangan di dalam terperangkap selama empat jam sebelum berjaya menyelamatkan diri.

Jepun terletak di Lingkaran api Pasifik, sebuah garisan akibat pergeseran kerak bumi yang merentasi Asia Tenggara dan limbangan Pasifik.

Negara ini kerap dilanda gempa bumi, tetapi masih dihantui ingatan malapetaka 2011 yang menyebabkan 18,500 orang maut atau hilang, kebanyakannya dalam tsunami.

Di sekitar loji Fukushima yang terjejas, dekontaminasi meluas dijalankan, dan zon larangan kini meliputi hanya 2.4% wilayah itu, turun daripada 12%, walaupun populasi di banyak bandar kekal jauh lebih rendah berbanding sebelum 2011. – AFP, 17 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen