Elaun minimum pelatih boleh jejas firma kecil, kata Majlis Peguam


Raevathi Supramaniam

PENETAPAN gaji minimum untuk pelatih dalam kamar mungkin tidak produktif kerana ia tidak mengambil kira kapasiti kewangan firma guaman lebih kecil, kata Presiden Majlis Peguam Karen Cheah.

Beliau berkata elaun antara negeri kecil dan besar mungkin berbeza disebabkan kos sara hidup yang berbeza.

“Kita perlu pertimbang dan berhati-hati apabila menangani isu ini,” kata Cheah dalam satu temu bual.

“Saya percaya penetapan elaun minimum untuk pelatih mungkin tidak produktif, kerana setakat ini hanya firma kecil terlibat.

“Masalah lain yang kita akan lihat ialah elaun minimum di Kuala Lumpur akan berbeza dengan Kelantan atau Terengganu.”

Pada Mac, usul yang mahukan firma guaman membayar elaun minimum RM1,200 kepada pelajar ditolak pada mesyuarat agung tahunan Badan Peguam Malaysia.

Peguam muda mahu badan itu memaksa firma guaman membayar peguam dalam latihan mengikut gaji minimum semasa. Bagaimanapun, mereka tidak diklasifikasikan sebagai pekerja di bawah Akta Pekerjaan.

Cheah berkata kebanyakan firma sederhana hingga besar, yang membentuk 20% hingga 25% firma guaman di negara ini, berkemungkinan besar sudah menepati kadar elaun minimum.

Elaun minimum juga secara tidak langsung boleh memberi kesan kepada pelatih di bandar dan negeri lebih kecil kerana mereka mungkin tidak akan mempunyai tempat menjalani latihan kerana firma lebih kecil mungkin tidak mampu membayar elaun yang begitu tinggi, katanya.

“Kita perlu sedar perlu ada keseimbangan. Pelatih memerlukan firma guaman untuk masuk dan jika kita menetapkan skala terlalu tinggi, mereka mungkin tidak dapat mencari tempat.”

Isu ini sudah lama berlarutan bidang undang-undang. Sejak kebelakangan ini, peguam muda lantang bersuara dan petisyen mengenainya juga dikemukakan kepada jawatankuasa Badan Peguam terhadap peguam muda dan pelatih tahun lepas.

Usul yang ditolak pada mesyuarat tahunan Mac lalu juga dikemukakan oleh seorang peguam muda dan disokong beberapa rakan lain. – 21 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen