Badan peguam gesa tubuh RCI siasat dakwaan terhadap Azam Baki  


Badan Peguam Malaysia hari ini sekali lagi menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat tuduhan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 7 Januari, 2022.

BADAN Peguam Malaysia hari ini menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat tuduhan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Presidennya A.G. Kalidas turut menyatakan kebimbangan mengenai keputusan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM untuk menjalankan siasatannya sendiri walaupun statusnya sebagai penasihat, yang menonjolkan keperluan terdesak untuk merombak mekanisme pengawasan di SPRM.

“Badan Peguam Malaysia bimbang dengan apa yang berlaku terhadap SPRM dan pemimpinnya. Timbul dakwaan mengenai pemilikan saham Azam dalam sebuah syarikat tersenarai awam dan akaunnya digunakan oleh adiknya untuk perdagangan saham.

“Pengerusi Lembaga Pengarah Abu Zahar Ujang menyatakan semasa sidang media bahawa lembaga itu telah membebaskan Azam daripada sebarang kesalahan.

“Oleh itu kami menyeru kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat tuduhan terhadap Azam,” katanya dalam satu kenyataan.

Kalidas turut mencadangkan agar agensi anti rasuah itu diletakkan di bawah Parlimen dan bukannya eksekutif, dengan mengatakan bahawa untuk sesebuah negara mempunyai tadbir urus yang baik dan akauntabiliti sebenar kepada orang ramai, perlu ada sistem semak dan imbang yang baik.

Beliau juga berkata terdapat keperluan untuk memastikan SPRM diterajui oleh pegawai yang kredibilitinya tidak dipertikaikan.

“Mereka yang memimpin mesti melaksanakan tugas mereka dengan terhormat, dengan integriti dan kejujuran, dan mesti bertanggungjawab atas tindakan mereka,” tambahnya.

Bekas pengerusi lembaga penasihat itu Tunku Abdul Aziz Tunku Abdul Ibrahim pada Ahad turut menggesa agar RCI ditubuhkan untuk meneliti dakwaan penyelewengan dalam SPRM.

Pakatan Harapan hari ini menggesa badan bebas yang tidak berkaitan dengan SPRM untuk menyiasat bukan sahaja Azam, tetapi Abu Zahar dan ketua pesuruhjaya terdahulu yang lain.

Majlis presiden juga berkata Azam dan Abu Zahar perlu dicutikan sementara menunggu siasatan. – 7 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen