Badan Peguam persoal keputusan AGC tarik semula rayuan kes rasuah Ku Nan


Tengku Adnan Tengku Mansor, 70, didapati bersalah pada 21 Disember lepas atas pertuduhan rasuah oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta. – The Malaysian Insight file pic, July 16, 2021.

PEGUAM Negara Idrus Harun perlu memberi penjelasan terperinci kenapa rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor dalam kes rasuah RM2 juta ditarik balik, kata Badan Peguam Malaysia.

Presiden A.G. Kalidas berkata Badan Peguam terganggu dengan keputusan Jabatan Peguam Negara menarik semula rayuan dengan mengambil kira keputusan Mahkamah Rayuan tidak sebulat suara.

Tengku Adnan, 70, yang juga ahli Parlimen Putrajaya dan Bendahari Umno didapati bersalah pada 21 Disember lepas atas pertuduhan rasuah oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta.

Keputusan ini dibatalkan oleh Hakim Suraya Othman di Mahkamah Rayuan pada 16 Julai bersama Hakim Ahmad Nasfy Yasin manakala Hakim Abu Bakar Jais mahu mahkamah mengekalkan sabitan dan hukuman.

Ini menyebabkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan tiga hari kemudian. Bagaimanapun rayuan itu ditarik semula awal bulan ini.

“Peguam negara adalah penasihat undang-undang utama kepada kerajaan dan juga pendakwa raya.

“Kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk memulakan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan boleh dilaksanakan mengikut budi bicaranya. Kami berpendapat alaan di sebalik menarik semula rayuan dalam kes berprofil tinggi sedemikian mesti didedahkan untuk menunjukkan akauntabiliti kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata sebagai soal tadbir urus yang baik, persoalan mengenai integriti tokoh awam seperti itu mesti dijawab dengan telus dan tidak diabaikan sambil menambah Jabatan Peguam Negara masih belum memberikan sebarang kenyataan untuk keputusan berkenaan.

“Kuasa budi bicara yang luas dipegang oleh peguam negara dalam kapasitinya sebagai pendakwa raya mesti ditimbang secara menyeluruh terhadap kedaulatan undang-undang dan pentadbiran mahkamah,” katanya.

Kalidas berkata kedudukan Jabatan Peguam Negara sebagai benteng keadilan dan penjaga kepentingan awam mesti dijaga rapi dan oleh itu perlunya peguam negara memberi penjelasan terperinci di sebalik penarikan semula rayuan berkenaan. – 19 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen