Badan Peguam gesa SPRM diperkasa


Badan Peguam Malaysia berkata SPRM harus bebas daripada sebarang bentuk pengaruh atau kuasa eksekutif setiap tindakan agensi antirasuah itu tidak berat sebelah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2021.

FUNGSI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu segera diperkukuhkan supaya lebih berkesan memerangi rasuah, terutamanya apabila kerajaan gagal bertindak demikian, kata Badan Peguam Malaysia.

Presidennya AG Kalidas dalam kenyataan hari ini berkata SPRM harus bebas daripada sebarang bentuk pengaruh atau kuasa eksekutif baik dari segi pentadbiran dan kewangan supaya setiap tindakan agensi antirasuah itu tidak berat sebelah.

Badan itu juga menyeru kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Bebas Antirasuah (IACC).

“Dalam usaha memerangi rasuah di peringkat nasional, Badan Peguam Malaysia menyeru kerajaan memperkukuhkan undang-undang antirasuah sedia ada, mengguna pakai dasar yang berkesan untuk meningkatkan kebertanggungjawapan dan tadbir urus.

“Kerajaan juga diseru mencari pendekatan bagi latihan dan pembinaan keupayaan standard antirasuah.

“Walaupun ini bukanlah jalan penyelesaian tuntas, namun ia akan meletakkan Malaysia di landasan betul dalam usaha memantau dan membanteras rasuah serta memenuhi komitmennya di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC),” katanya, sempena Hari Antirasuah Antarabangsa hari ini.

Kalidas dalam kenyataannya juga turut menyorot pencapaian Malaysia yang sekadar meraih 45 mata atau gred D dalam Indeks Integriti Pertahanan Kerajaan (GDI) bagi tahun 2020, yang dikeluarkan penyelidikan Transparency International Malaysia (TI-M).

“Ini menunjukkan kelemahan institusi secara keseluruhannya terhadap rasuah.

“Malaysia juga jatuh enam anak tangga dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahun lalu,” kata Kalidas.

Susulan itu, Badan Peguam menggesa kepada tadbir urus yang lebih terbuka, telus dan bertanggungjawab untuk membanteras rasuah serta menjunjung kedaulatan undang-undang, tambahnya. – 9 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen