Badan Peguam bincang tindakan mahkamah pertahan badan kehakiman


Raevathi Supramaniam

Presiden Badan Peguam Malaysia Karen Cheah menyeru supaya badan kehakiman dipertahankan dalam apa juga keadaan serta menegakkan prinsip pengasingan kuasa antara cabang kerajaan, legislatif dan kehakiman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 Mei, 2022. 

MESYUARAT agung khas Badan Peguam Malaysia hujung bulan ini akan membincangkan ketetapan antara lain untuk mengambil tindakan mahkamah berhubung tekanan dan campur tangan ke atas badan kehakiman, kata presidennya Karen Cheah.

“Badan Peguam sudah hampir pasti akan membentangkan satu usul dan usul itu untuk melindungi kebebasan badan kehakiman dengan beberapa ketetapan berhubung kait dengannya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ketetapan itu antaranya mendesak satu bentuk tindakan ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang membuka siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ia juga akan menyeru supaya badan kehakiman dipertahankan dalam apa juga keadaan serta menegakkan prinsip pengasingan kuasa antara cabang kerajaan, legislatif dan kehakiman.

“Antara yang akan diusulkan ialah mengemukakan tindakan mahkamah dan berarak demi keadilan. Sebarang bentuk perarakan sudah tentu akan dibincangkan,” tambahnya.

Cheah bagaimanapun berkata butiran berkenaan tindakan mahkamah itu belum lagi muktamab.

“Tunggu EGM,” katanya.

Cheah juga berkata anggota Badan Peguam Malaysia berbeza pandangan mengenai tindakan turun ke jalan raya.

“Ada yang mendesaknya, ada yang tidak berminat. Jadi kita akan seimbangkan antara dua pandangan ini.

“EGM ini untuk peguam menyuarakan pandangan mereka mengenai tindakan yang mahu diambil,” kata Cheah.

SPRM bulan lalu mengesahkan membuka siasatan terhadap Mohd Nazlan berhubung dakwaan sejumlah wang yang dikatakan masuk ke akaun peribadinya.

Mohd Nazlan adalah hakim bicara yang mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak atas tujuh tuduhan jenayah salah guna kuasa,  pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau juga kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib.

Mohd Nazlan menafikan tuduhan itu yang dibuat terhadapnya oleh penulis blog Raja Petra Kamaruddin yang kini hidup dalam buangan di United Kingdom dan membuat laporan polis.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat juga dalam satu ucapannya membidas tuduhan ke atas hakim dan badan kehakiman, yang disifatkannya sebagai “keterlaluan”.

“Adalah menjadi lumrah bagi barisan hakim untuk menerima kritikan dan tohmahan daripada pihak yang terkilan dengan keputusan mahkamah, apalagi bagi kes berkepentingan awam.

“Namun, apa yang berlaku dalam beberapa hari ini yang membabitkan tohmahan terhadap hakim dan Badan Kehakiman, pada pandangan saya agak keterlaluan,” katanya, berucap pada majlis angkat sumpah hakim-hakim yang baharu dilantik pada 27 April.

Susulan siasatan terhadap Mohd Nazlan, Badan Peguam berpendapatan SPRM sedang meremehkan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

“Cara SPRM mengendalikan perkara ini iaitu apabila mereka mengumumkan sedang menyiasat hakim tertentu dan mereka namakan hakim itu, memberikan kesan yang akan menjejaskan keyakinan umum,” kata Cheah.

Keyakinan itu terhakis bukan sahaja terhadap hakim berkenaan tetapi seluruh badan kehakiman, katanya. 

“Ini satu perkara yang akan dibahaskan dalam EGM nanti,” katanya.

Mesyuarat pada 27 Mei juga akan meneliti salah tanggapan bahawa badan peguam mahu layanan istimewa kepada hakim iaitu imuniti daripada siasatan.

“Ini satu salah tanggapan. Bukan ini maksud kami. Apa yang kami mahu orang ramai dan peguam tahu ialah ada pendekatan berperlembagaan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 125,” katanya.

Perkara 125(3) memperuntukkan kuasa kepada ketua hakim, selepas berunding dengan perdana menteri, untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya menubuhkan tribunal untuk memecat hakim.

Enam bekas presiden Badan Peguam Malaysia sebelum ini menggesa para peguam turun ke jalan raya untuk menghantar isyarat jelas mengenai ancaman terhadap kebebasan badan kehakiman.

Mereka ialah Kuthubul Zaman Bukhari, Yeo Yang Poh, Ambiga Sreenevasan, Lim Chee Wee, Mah Weng Kwai dan Steven Thiruneelakandan.

Pada 2007, lebih kurang 2,000 peguam diketuai Ambiga selaku presiden pada masa itu berarak di Putrajaya membantah dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim susulan rakaman audio peguam kanan VK Lingam.

Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan kemudian mengesahkan kesahihan rakaman tersebut. Episod itu membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Pada 2014, peguam sekali lagi ke jalan raya diketuai presiden pada masa itu Christopher Leong mendesak Akta Hasutan 1948 dimansuhkan. – 19 Mei, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen