Badan Peguam kutuk tingkah laku tak beretika segelintir peguam


Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat melalui pegawai khasnya telah membuat laporan polis pada 7 Jun lalu berhubung dakwaan seorang peguam yang membuat kenyataan tidak senonoh dan boleh menjejaskan imej badan kehakiman. Hari ini, Badan Peguam Malaysia memandang serius kenyataan peguam, dan jika benar, ia adalah yang satu bentuk tindakan yang boleh merosakkan nama baik kerjaya perundangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2021.

BADAN Peguam Malaysia memandang berat berita mengenai laporan polis dibuat Ketua Hakim Negara terhadap seorang peguam kerana didakwa menghina sistem kehakiman, kata A.G Kalidas.

Presiden Badan Peguam Malaysia itu berkata laporan itu menunjukkan keputusan badan kehakiman boleh dipengaruhi pihak tertentu.

“Tingkah laku seperti dilaporkan memalukan dan tidak boleh dibuat oleh komuniti perundangan. Badan Peguam Malaysia tidak boleh bertolak ansur dengan tingkah laku tidak bertanggungjawab dan tidak beretika itu, yang akan mencemarkan nama baik kerjaya,” kata Kalidas dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Badan Peguam Malaysia memandang serius perkara-perkara yang menyentuh integriti anggotanya.

“Kami tidak benarkan tindakan seperti itu; dan jika ia terbukti benar, ia dianggap sebagai salah laku. Amalan seperti itu, seperti yang dilaporkan dalam laporan berita, tidak hanya merendahkan nama baik seluruh kerjaya perundangan, tetapi pada dasarnya mengikis kepercayaan yang diberikan kepada kita oleh masyarakat sebagai penegak undang-undang dan keadilan,” katanya.

Pada Selasa, polis berkata pihaknya sedang menyiasat seorang peguam kanan yang dikatakan membuat kenyataan tidak senonoh terhadap badan kehakiman.

Ketua Polis Sepang, Wan Kamarul Wan Yusoff berkata, laporan polis telah dibuat terhadap peguam terbabit oleh pegawai khas kepada Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat pada 7 Jun.

“Kami telah buat siasatan dan setakat ini kami ada empat kenyataan saksi,” kata Wan Kamarul kepada Free Malaysia Today.

Katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 504 undang-undang yang sama kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Kedua-dua kesalahan tersebut boleh membawa kepada hukuman penjara hingga dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Polis juga sedang menyiasat kejadian tersebut mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia kerana didakwa menggunakan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian yang membawa denda RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

Menurut laporan tersebut, peguam itu didakwa mengirim beberapa pesanan teks kepada klien asing, dengan merujuk kepada ketua hakim.

Kalidas berkata orang ramai perlu yakin adanya mekanisme di mana aduan boleh dibuat terhadap peguam, iaitu melalui Lembaga Tatatertib Peguam Bela & Peguam Cara (ASDB), yang ditugaskan untuk menyiasat aduan terhadap peguam berkaitan dengan kesalahan profesional.

Katanya Badan Peguam Malaysia menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai perkara itu.

“Kami bersedia membantu polis, jika perlu, untuk mempertahankan maruah dan integriti kerjaya perundangan. Kami bersungguh untuk memastikan sistem kehakiman kita tidak terkesan dengan semua pengaruh yang tidak wajar dan hanya bertanggung jawab kepada aturan perundangan sahaja,” katanya. – 19 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen