Badan Peguam risau kedaulatan undang-undang dan demokrasi di bawah darurat


Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengejutkan negara dengan mengumumkan Perintah Darurat, kurang 24 jam setelah mengumumkan PKP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Januari, 2021.

BADAN Peguam Malaysia berharap keadaan darurat tidak akan menjejaskan kedaulatan undang-undang dan demokrasi sehingga tidak ada mekanisme utuh untuk menilai sistem kerajaan.

“Kami berharap undang-undang yang dimaksudkan oleh Eksekutif untuk memperkuat penguatkuasaan untuk mengekang penyebaran Covid-19 tidak terlalu keras,” kata presiden Badan Peguam Malaysia Salim Bashir dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Badan Peguam Malaysia prihatin dengan kesan terhadap hak asasi manusia dan kebebasan sivil memandangkan prosedur undang-undang biasa tidak dapat dilaksanakan di bawah darurat.

Keadaan darurat yang diumumkan semalam akan membolehkan kerajaan menangguhkan Perlembagaan Persekutuan dan Parlimen malah dapat mengenakan undang-undang baharu.

“Walaupun kebanyakan orang memahami perlunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), langkah kerajaan mengisytiharkan darurat kelihatan terlalu berlebih-lebih.”

Salim berkata, kerajaan boleh menggunakan pelbagai kuasa yang telah disediakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Sebagai alternatif, ia juga dapat mengguna undang-undang lain untuk menangani situasi pandemik di Malaysia.

“Langkah-langkah kesihatan awam dan sanitasi cukup memadai untuk diletakkan di bawah undang-undang sedia ada tanpa membuat pengisytiharan darurat.”

Salim berkata, walaupun keadaan darurat dapat menghentikan buat sementara waktu seruan untuk pilihan raya, namun sebaliknya ia akan memberi kesan kepada ekonomi dan hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengejutkan negara dengan mengumumkan Perintah Darurat, kurang 24 jam setelah mengumumkan PKP merangkumi enam negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata keadaan darurat akan memungkinkan kerajaan mengekang penyebaran Covid-19 dengan “mengambil alih” industri kesihatan swasta dan menghentikan seruan untuk mengadakan pilihan raya.

Kerajaan Perikatan Nasional kini merupakan kerajaan minoriti dengan 110 Ahli Parlimen setelah dua Ahli Parlimen Umno iaitu Nazri Aziz (Padang Rengas) dan Ahmad Jazlan Yaakob (Machang) menarik sokongan mereka terhadap kerajaan itu. – 13 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen