KESATUAN Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) mahu siasatan dijalankan terhadap Malindo Airways yang mengurangkan tenaga kerjanya secara besar-besarnya menyebabkan 2,000 kakitangan syarikat penerbangan itu diberhentikan kerja.
“Nufam menyarankan satu siasatan dijalankan jika benarnya ada pelanggaran dalam hal pembuangan pekerja di syarikat Malindo Air,” kata Timbalan Setiausaha Agung Nufam Shashi Kumar dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga mendesak pekerja yang terlibat menghubungi kesatuan untuk pertanyaan lanjut dan membuat aduan segera tempoh 60 hari.
Kesatuan itu berkata syarat pampasan dan pemberhentian itu tidak adil.
“Kebanyakan aduan adalah Kru Kabin yang hanya menerima RM4,000 lebih saja. Adakah ini pampasan yang berpatutan dan bersifat peri kemanusiaan?
Ramai pekerja ini juga adalah golongan B40 yang masih mempunyai kontrak yang akan berakhir pada tahun 2024. Jadi mana keadilan ini semua?,” katanya.
Kesatuan telah membuat aduan kepada Kementerian Sumber Manusia tetapi tiada sebarang tindakan diambil.
Nufam juga mengulangi bahawa syarikat penerbangan itu mungkin menerima RM3 juta daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk Program Subsidi Upah bagi membayar pekerja yang dipaksa berhenti.
“Jika benar ini berlaku,pihak agensi Perkeso harus membuat siasatan ke atas aduan tersebut.
“Ada pihak pekerja mengadu kepada Perkeso mengenai isu bayaran skim PSU tetapi mereka tidak mendapat maklum balas atau jawapan dari pihak syarikat.
Malah katanya apa yang membuatkan mereka terkilah adalah apabila kerajaan mengatakan dalam keadaan Covid19, mana-mana syarikat tidak boleh memberhentikan pekerja
“Apa guna kerajaan bagi peruntukan berbilion ringgit kepada syarikat ini semua tapi mereka masih buang pekerja mereka.
“Ia menampakan betapa lemah pemantauan ke atas apa yang dinyatakan oleh kerajaan hari ini. Ia seolah olah syarikat ini merima dana tapi tetap menganiaya pekerja mereka,” katanya.
The Malaysian Insight semalam melaporkan tiga bulan gaji antara pakej pemberhentian kerja yang akan diterima oleh kira-kira 2,000 kakitangan Malindo Airways Sdn Bhd yang tamat bekerja hari ini.
Garis panduan pengurusan pemberhentian pekerja syarikat yang dilihat The Malaysian Insight menyatakan pakej pemberhentian akan dibayar secara ansuran.
“Kakitangan yang akan menerima jumlah pampasan RM15,000 ke bawah, pembayaran akan dibuat secara ansuran sebanyak tiga kali. Ansuran pertama akan dibuat pada 30 November.
“Kakitangan yang akan menerima jumlah pampasan RM15,001 dan ke atas, pembayaran akan dibuat secara ansuran sebanyak enam kali. Pembayaran pertama pada 30 November.”
Malindo menjadi topik paling popular di Twitter semalam apabila kakitangannya menggunakan media sosial untuk “keluar” dari syarikat itu sementara kata-kata sokongan diberi daripada rata-rata pengguna media sosial.
Ketua Pegawai Eksekutif Kapten Mushafiz Mustafa Bakri menerusi memo dalaman yang dilihat oleh The Malaysian Insight berkata bahawa syarikat penerbangan itu hanya memperoleh 10% daripada pendapatan bulanan sebelum pandemik Covid-19. – 1 November, 2020.
Komen