Khidmat 2,000 pekerja Malindo tamat hari ini


Ragananthini Vethasalam

Kira-kira 2,000 kakitangan Malindo Airways Sdn Bhd tamat perkhidmatan berkuatkuasa esok.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2020.

TIGA bulan gaji antara pakej pemberhentian kerja yang akan diterima oleh kira-kira 2,000 kakitangan Malindo Airways Sdn Bhd yang tamat bekerja hari ini.

Pemberhentian kerja mereka berkuatkuasa esok, susulan operasi syarikat penerbangan itu terjejas teruk akibat Covid-19.

Garis panduan pengurusan pemberhentian pekerja syarikat yang dilihat The Malaysian Insight menyatakan pakej pemberhentian akan dibayar secara ansuran.

“Kakitangan yang akan menerima jumlah pampasan RM15,000 ke bawah, pembayaran akan dibuat secara ansuran sebanyak tiga kali. Ansuran pertama akan dibuat pada 30 November.

“Kakitangan yang akan menerima jumlah pampasan RM15,001 dan ke atas, pembayaran akan dibuat secara ansuran sebanyak enam kali. Pembayaran pertama pada 30 November.”

Kakitangan dipilih berdasarkan prinsip last in first out.

Bagi kakitangan dengan gaji pokok RM2,000 ke bawah, dan berkhidmat lebih setahun tetapi kurang dua tahun, mereka akan menerima tiga bulan gaji, faedah penamatan kerja dan juga baki cuti tahunan secara pro-rata.

Bagi kakitangan dengan gaji pokok RM2,000 ke bawah, dan berkhidmat lebih dua tahun tetapi kurang lima tahun, mereka akan menerima sebulan gaji, faedah penamatan kerja dan baki cuti tahunan secara pro-rata.

Manakala kakitangan dengan gaji pokok lebih RM2,000 dan telah berkhidmat selama setahun, mereka akan menerima sebulan gaji.

Kakitangan yang telah berkhidmat selama empat tahun dan gaji pokok lebih RM2,001 pula, mereka akan diberi tiga bulan gaji. – 31 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen