Malindo tawar skim sukarela cuti tanpa gaji setahun kepada pekerja


MALINDO Airways Sdn Bhd menawarkan cuti tanpa gaji jangka pangjang sukarela (LTU) kepada pekerjanya selama setahun, dan keputusan status kerja mereka hanya akan dibuat selepas itu.

Pekeliling dalaman bertarikh 16 Jun yang dilihat The Malaysian Insight berkata skim itu akan berkuatkuasa pada 1 Ogos akan membenarkan pekerja untuk “secara sukarela mengambil cuti tanpa gaji tanpa justifikasi.”

“Susulan pengumuman Skim Pemisahan Sukarela (VSS) bertarikh 29 Mei 2020, syarikat menawarkan skim cuti tanpa gaji jangka panjang sukarela yang terpakai untuk semua kakitangan, termasuklah kakitangan yang memohon VSS,” kata pekeliling dikeluarkan Jabatan Sumber Manusia itu.

Syarikat penerbangan itu berkata permohonan untuk skim LTU akan dibuka pada 16 sehingga 22 Jun.

Pekerja yang berada dalam skim LTU tidak akan dibayar gaji, elaun dan tidak layak untuk insurans perubatan.

Skim LTU untuk kakitangan tetap berkuatkuasa selama setahun, manakala untuk pekerja kontrak ia akan berjalan sehingga kontrak mereka tamat.

Malindo juga berkata terdapat kemungkinan skim LTU dilanjutkan mengikut budi bicara pengurusan.

Selepas setahun, pekerja tetap yang tidak dipanggil balik bekerja dianggap sudah kehilangan kerja.

“Jika pekerja tidak dipanggil bekerja kembali, status mereka akan dianggap berlebihan dan syarikat berhak melaksanakan proses pembuangan pekerja,” kata Malindo.

Bagi kakitangan kontrak pula, jika mereka tidak dipanggil bekerja selepas LTU berakhir, kontrak kerja dianggap tamat tempoh dan tidak akan diperbaharui.

“Tarikh akhir bekerja adalah seperti tarikh akhir kontrak,” kata pekeliling itu.

Pekerja yang meletak jawatan sebelum LTU bermula tidak layak untuk skim itu.

Pekerja yang berhasrat untuk meletak jawatan semasa tempoh LTU boleh berbuat demikian dengan notis dua minggu. Bagaimanapun, tiada gaji atau elaun akan dibayar dengan peletakan jawatan, bon kontrak kerja juga akan dimansuhkan.

Awal bulan ini dilaporkan yang Malindo menawarkan VSS kepada pekerja tetap dan kontrak selepas gagal mendapatkan pinjaman atau jaminan kerajaan untuk terus beroperasi.

Sumber arif dengan pembangunan syarikat berkata Malindo yang mempunyai hampir 5,000 pekerja itu mahu mengurangkan tenaga kerja sehingga lebih 50%.

The Malaysian Insight sudah menghubungi CEO Malindo Kapten Mushafiz Mustafa Bakri untuk ulasan perkembangan terbaru ini.

Pada 12 Jun lalu, The Malaysian Insight melaporkan yang kakitangan kontrak yang kontrak mereka ditamatkan lebih awal ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sudah memfailkan perwakilan dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan mendakwa mereka dibuang kerja secara tidak adil.

Difahamkan perwakilan itu dibuat di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 difailkan dengan cawangan jabatan di Selangor pada 1 Jun lalu.

Jabatan yang terletak bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia sudah memanggil syarikat penerbangan itu untuk mesyuarat pada 30 Jun. – 29 Jun, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen