KESATUAN Kebangsaan Atendan Penerbangan Malaysia (Nufam) mengecam Kementerian Pengangkutan kerana mengabaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk penjarakan sosial dan membenarkan syarikat penerbangan mengendalikan penerbangan dengan kapasiti penuh.
Terkejut dengan arahan itu, Nufam dalam kenyataannya berkata sepatutnya hanya 66% operasi penerbangan dijalankan dengan mematuhi penjarakan sosial.
“Perkara ini sangat membimbangkan dan juruterbang serta krew kabin mengecam arahan terbaru yang diberikan oleh kementerian. Mereka bahkan tidak berbincang dengan pihak-pihak berkenaan namun terus mengeluarkan arahan yang boleh membahayakan kru dan juruterbang,” kata sekretariat kesatuan itu dalam satu kenyataan hari ini.
“Persoalannya kini, adakah krew kabin dapat menguruskan SOP Covid-19 di atas kapal terbang dengan kapasiti penumpang sebanyak 100%? SOP penerbangan sepatutnya untuk separuh beban, bukan berdasarkan beban penuh. Akan ada pekerjaan tambahan untuk kru kabin,” tambahnya.
Pada 7 Jun, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa kelonggaran di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), termasuk membenarkan perjalanan rentas negeri bermula 10 Jun.
Sejak itu sektor penerbangan mula beroperasi untuk meningkatkan perkhidmatan penerbangan di negara ini.
Nufam turut menyebut beberapa kes Covid-19 yang diimport di negara ini, di samping berkata bahawa keselamatan dan kebajikan anggota kru kabin adalah perkara yang perlu diambil perhatian.
Ia juga mempersoalkan bagaimana anak kapal akan menjalankan perkhidmatan mereka dalam masa yang sama terpaksa mematuhi penjarakan sosial ketika beroperasi dengan kapasiti penuh.
“Jangan lupa kita semua kini berada di bawah PKPP di mana SOP penjarakan sosial tetap ketat untuk dipatuhi semua orang,” tambahnya.
Nufam berkata bahawa menambah beban kerja anak kapal dan turut membahayakan mereka adalah satu perkara yang tidak boleh diterima.
SOP penjarakan sosial dalam pesawat harus tetap dipatuhi sehingga negara bebas daripada jangkitan Covid-19, katanya.
“Terdapat pengumuman penjarakan sosial yang akan dibuat oleh kru kabin pada setiap sektor tetapi bagaimana semua ini akan berakhir jika akhirnya SOP penjarakan sosial ini sendiri tidak dilaksanakan ?,” katanya.
“Ketika industri lain mesti mengikuti dan penjarakan sosial di tempat kerja mereka, pesawat pula adalah tempat kerja kru kabin.” – 13 Jun, 2020.
Komen