Iktiraf Nufam sekarang, kata MTUC kepada Malaysia Airlines


Malaysia Airlines perlu mengiktiraf Nufam bagi membolehkan hak pekerjanya dijamin dan dilindungi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2020.

SYARIKAT penerbangan negara, Malaysia Airlines Berhad (MAB) perlu mengiktiraf Nufam sebagai kesatuan sekerja demi melindungi hak pekerjanya, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata keengganan MAB untuk mengiktiraf Kesatuan Sekerja Anak-anak Kapal Kabin Penerbangan (Nufam) telah menindas hak asas pekerja syarikat itu bertahun-tahun lamanya.

“Satu-satunya ubat adalah mengiktiraf kesatuan itu serta merta.

“Jika MAB terus tidak berbuat demikian, ia hanya akan mengesahkan taktik anti kesatuan berterusan mereka, yang mungkin dilihat seperti kerajaan menggunakan GLC untuk memecahkan kesatuan sekerja,” kata Solomon dalam satu kenyataan.

Sejak MAB dibentuk pada 2015 menggantikan Malaysia Airline System Bhd, ia masih belum mengiktiraf Nufam sebagai kesatuan yang mewakili pekerjanya.

Mahkamash Persekutuan pada Rabu menolak permohonan rayuan MAB ke atas tuntutan Nufam.

Kemelut berpunca susulan kegagalan MAB mengakui penyelia penerbangan (pekerja dalam kabin/IFS) tidak diambil bekerja dalam kapasiti pengurusan, eksekutif, sulit atau keselamatan, dan kerana itu berhak mengundi untuk mengiktiraf Nufam sebagai kesatuan yang boleh melindungi mereka.

Disebabkan penghakiman mahkamah tertinggi negara itu, proses mengiktiraf Nufam perlu dipercepat bagi membolehkan pekerja IFS boleh mengundi.

Solomon berkata walaupun hak membentuk kesatuan sekerja dilindungi undang-undang buruh, mereka masih berdepan banyak halangan dalam perjuangan menuntut keselamatan pekerjaan, waktu bekerja yang munasabah dan upah setimpal.

“Hak ini termasuklah hak kesatuan untuk menganjurkan, merangka perlembagaan dan peraturan, memilih wakil dengan bebas, mengadakan pentadbiran dan aktiviti mereka serta merangka program mereka.

“Selain itu, kesatuan menjangkakan pihak berkuasa patut mengelak daripada sebarang campur tangan yang akan menyekat hak ini atau mengekang pelaksanaan hak ini,” katanya.

Sangatlah malang untuk syarikat berkaitan kerajaan yang melakukan aktiviti komersial bagi pihak kerajaan, terlibat dalam aktiviti yang mengekang pembentukan dan fungsi kesatuan sekerja, tambah Solomon.

“Fakta yang semua mahkamah termasuk Mahkamah Persekutuan tidak membantah keputusan Kementerian Sumber Manusia untuk membenarkan kategori pekerja dalam pertikaian ini menunjukkan yang ia adalah keputusan yang dibuat dengan baik.”

Disebabkan itu, MAB perlu menghormati keputusan ini dan mengiktiraf Nufam serta merta, katanya lagi.

Tambah Solomon, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong perlu mengambil inisiatif untuk menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional menyokong perjuangan pekerja.

“PN patut mengarahkan pengurusan MAB menjemput Nufam ke meja rundingan dan menyelesaikan isu ini,” katanya. – 24 Julai, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen