Bukan masa yang tepat bincang seragam pramugari, kata Nufam


SM Amin

Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga Siti Zailah Mohd Yusoff berkata beliau kekal dengan pendiriannya untuk memperjuangkan pakaian pramugari yang patuh syariah. – Gambar AFP, 15 Mac, 2020.

SEKARANG bukan masanya untuk berbincang soal pakaian pramugari ketika negara sedang berhadapan dengan penularan jangkitan Covid-19, yang turut menjejaskan industri penerbangan, kata Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam).

Presidennya Ismail Nasaruddin berkata ada beberapa perkara membabitkan anak kapal yang perlu diberi keutamaan sekarang oleh kerajaan, terutamanya soal kebajikan mereka yang sangat terkesan sejak dua bulan lalu.

“Saya rasa ini bukan masa yang tepat untuk buat komen pasal isu uniform. Kita sedang berhadapan dengan Covid-19, banyak isu-isu lain seperti pengurangan pekerja, pengurangan penerbangan, masalah ekonomi. 

“Pekerja pun dalam tertekan sebab jadual mereka sering bertukar. Jadi fokuslah isu-isu ini dahulu. Soal uniform ini kemudian kita ceritalah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Semalam, Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga Siti Zailah Mohd Yusoff berkata beliau kekal dengan pendiriannya untuk memperjuangkan pakaian pramugari yang patuh syariah.

Zailah, Ahli Parlimen Rantau Panjang, adalah juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, sayap wanita parti Islam.

Semasa di Dewan Rakyat sebagai pembangkang, Zailah konsisten menggesa kerajaan memperkenalkan polisi tutup aurat ke atas pekerja, termasuk kakitangan syarikat penerbangan.

Semalam, Zailah yang kini sebahagian anggota kerajaan, yang ditanya pendiriannya, berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk memperincikan perkara tersebut.

Menurut Ismail, Nufam tiada sebarang masalah untuk menerima cadangan penukaran uniform pramugari namun meminta ia dibincangkan dahulu dengan pihak kesatuan.

“Kita bersedia untuk berbincang, tiada masalah. Dapatkan pandangan kita dahulu. Jangan anggap kita ini macam tidak ada apa-apa. Biarlah apa juga keputusan yang dibuat nanti, diterima semua. 

“Kalau ada kebaikan, Nufam tidak bantah cumanya kita mahu semua pihak dapat memahami isu sebenarnya. Jangan fokus dengan pramugari sahaja. 

“Syarikat lain seperti perhotelan tiada yang pakai skirt? Adillah,” katanya.

Tambah Ismail, kerajaan seharusnya memberi perhatian kepada kebajikan pekerja terlebih dahulu yang berhadapan dengan risiko dijangkiti Covid-19 ketika bertugas berbanding isu pakaian.

“Sepatutnya seru kerajaan beri pampasan kepada pekerja-pekerja krew kabin yang sudah dua bulan berhadapan dengan risiko dijangkiti virus daripada penumpang. Kenapa ini tidak dibangkitkan?

“Pekerja tengah stress. Gaji tidak ada yang normal, semua sudah buat potongan, jadual kurang. Lihat perkara-perkara ini dahulu, fokus mana yang penting. Jangan tambah stress mereka,” katanya.

Khamis lalu, Malaysia Airlines Berhad meminta 13,000 kakitangannya mengambil cuti tidak bergaji susulan penularan Covid-19 yang telah menjejaskan operasi syarikat penerbangan itu.

Syarikat telah membuat tawaran itu kepada semua kakitangannya untuk mengambil tiga bulan cuti tanpa gaji atau lima hari cuti tidak bergaji setiap bulan, sekurang-kurangnya selama tiga bulan mulai April ini.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata Putrajaya menganggarkan kerugian keseluruhan dalam sektor pelancongan mulai Januari hingga Februari 2020 adalah sebanyak RM3.37 billion, kesan penularan Covid-19.  – 15 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen