Kenyataan Azmin tiada perikemanusiaan, kata Nufam


Kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali mengenai automasi untuk kurangkan tenaga buruh disifatkan Nufam sebagai egoistik dan mengguris hari pekerja.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2020.

KESATUAN anak kapal penerbangan menyelar saranan Mohamed Azmin Ali supaya syarikat menggunakan automasi untuk mengurangkan tenaga buruh bagi menghadapi kesan ekonomi akibat krisis Covid-19.

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Penerbangan Kabin Malaysia (Nufam) menyifatkan kenyataan menteri itu bukan sahaja kurang bijak tetapi tidak berperikemanusiaan kerana menekan pekerja.

Ia menyebut, kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu juga menunjukkan sikap tidak peduli kepada golongan pekerja dan langsung tidak memberansangkan ekonomi negara.

Kesatuan itu juga melihat Azmin seperti mahu menunjuk pandai dengan memberi kenyataan “egoistik serta menguris hati kaum pekerja” seperti itu.

“Adakah beliau sedar beratusan ribu pekerja telah dihentikan dan akan terus  terjejas melalui perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan PKP sejak sebulan yang lalu?

“Dengan memberi idea untuk menghapuskan sistem pekerjaan melalui otomasi, beliau pula membuat kenyataan yang tidak tepat pada masanya,” kata kesatuan itu dalam kenyataannnya.

Nufam juga menjelaskan, tidak semua industri pekerjaan juga boleh diautomasikan sepenuhnya, seperti industri penerbangan yang hanya boleh melaksana automasi sistem bagasi dan pengeluaran tiket.

“Itu pun tidak semua boleh bergantung kepada sistem otomasi kerana ada kalanya sistem juga mempunyai masalah teknikal yang akan membawa lebih kerugian kepada syarikat.”

Ia memberi contoh, masalah automasi sistem bagasi Malaysia Airport Holdings di KLIA tahun lalu yang gagal berfungsi menyebabkan kerugian besar.

Nufam juga melihat, kenyataan Azmin itu hanya membela syarikat dan menggambarkan sokongan kepada langkah pengurangan pekerja dalam sektor dan industri tersebut yang teruk terjejas.

Industri penerbangan merupakan antara yang paling teruk terjejas permintaan menjunam sejak Mac akibat pandemik Covid-19 dan menyebabkan puluhan ribu pesawat tidak dapat beroperasi.

Beberapa syarikat penerbangan juga sudah memfailkan notis kebankrapan selepas gagal mendapatkan bantuan dari kerajaan.

Syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines dan AirAsia juga berdepan risiko sama dan kini menjalankan banyak usaha penjimatan kos.

Mengulas lanjut Nufam berkata Azmin sepatutnya sedar bahawa kenyataan tersebut membimbangkan dan membangkitkan kemarahan kakitangan dalam sektor tersebut.

“Kesatuan kami gesa beliau jika tiada idea atau kenyataan yang bernas, janganlah cuba membuka mulut dan cuba tunjuk sikap pandai,” kata Nufam lagi.

Kenyataan Azmin juga dikritik Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menanggap langkah itu tidak bertanggungjawab dan tidak kena pada masanya kerana akan menambah penggangguran.

Setiausaha MTUC J Solomon berkata desakan itu dibuat ketika ribuan pekerja sedang berdepan potongan gaji dan dipaksa bercuti tanpa gaji, sementara ribuan yang lain berisiko kehilangan kerja akibat kesan virus itu terhadap ekonomi.

Azmin dalam gesaannya minggu lalu berkata langkah automasi akan meringankan kesan ekonomi daripada Covid-19 kerana ia mengurangkan tenaga kerja sesebuah syarikat.

Pakar ekonomi dan persatuan majikan menganggarkan penutupan bagi hampir semua perniagaan akibat langkah kawalan pergerakan boleh menyebabkan hampir dua juta pekerja hilang pekerjaan. – 4 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen