SOP penerbangan ikut piawai antarabangsa, bukti saintifik, kata menteri


Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dalam berkata KKM telah menetapkan SOP termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada semua penumpang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2020.

KEPUTUSAN untuk tidak melaksanakan penjarakan sosial dalam pesawat adalah berdasarkan cadangan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan bukti saintifik, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Beliau mengulas kritikan pengumuman kerajaan pada Khamis lalu untuk membenarkan syarikat penerbangan beroperasi pada kapasiti penuh dan tidak mewajibkan penjarakan sosial di dalam pesawat.

“Kementerian Pengangkutan Malaysia ingin menyatakan keputusan tersebut tidak dibuat secara sebelah pihak. Sebaliknya melibatkan konsultasi dengan pihak berkepentingan baik di sektor swasta mahupun awam dengan mengambilkira kepentingan keselamatan serta kesihatan para penumpang dan anak kapal, sebelum keputusan dimuktamadkan.

“Rundingan ini adalah bersandarkan kepada  cadangan daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan bukti saintifik dan penilaian risiko mengikut fakta yang tepat,” kata Wee dalam satu kenyataan.

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) semalam terkejut dan menyelar kerajaan membenarkan syarikat penerbangan beroperasi pada kapasiti penuh dan tidak mewajibkan penjarakan sosial di dalam pesawat.

Nufam dalam kenyataannya semalam berkata pesawat sepatutnya beroperasi pada kapasiti 66% dengan mematuhi penjarakan sosial. Kesatuan itu juga berkata keputusan kerajaan itu membimbangkan, sambil menambah ia dibuat tanpa perbincangan dengan dengan pihak-pihak berkenaan.

Mengulas lanjut, Wee dalam kenyataannya berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah menetapkan  prosedur operasi standard (SOP) termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada semua penumpang.

Selain itu, KKM juga mewajibkan pemeriksaan suhu badan dan ujian saringan gejala menggunakan pengimbas sebelum menaiki pesawat, jejak kontak penumpang dan   menggunakan cecair pembasmi kuman. 

Kabin kapal terbang dibersihkan selepas setiap penerbangan dan aktiviti bersentuhan semasa perkhidmatan penerbangan seperti pengendalian makanan adalah dilarang, tambah Wee.

“SOP ini telah dibincangkan dan dipersetujui oleh Kementerian Pengangkutan bersama dengan Majlis Keselamatan Negara, KKM dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 7 Jun 2020,” katanya. – 14 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen