SUNTIKAN dana awam kepada syarikat penerbangan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 tidak boleh dilihat sebagai “bailout” atau langkah menyelamat, kata Persatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam).
Presidennya Ismail Nasaruddin berkata kerugian besar yang ditanggung oleh syarikat penerbangan bukan disebabkan oleh salah urus tetapi kerana penggantungan perjalanan udara di seluruh dunia.
Ismail berkata terma “bailout” perlu diguna pakai dalam kes-kes di mana dana awam digunakan untuk menyelamatkan syarikat yang bermasalah akibat salah urus tadbir atau salah laku kewangan.
“Oleh itu, suntikan dana kerajaan untuk merangsang semula industri (penerbangan) perlu dikira sebagai pakej rangsangan kerana industri ini berperanan penting dalam ekonomi negara, yang mendorong banyak sektor berkaitan,” katanya pada webinar anjuran MTUC berkenaan Covid-19 dan perlindungan pekerja.
Menurut Ismail, industri penerbangan di Malaysia yang sedang bermasalah memerlukan bantuan seegera dari kerajaan kerana lebih 100,000 gaji pekerja termasuk juterbang, kru kabin dan kakitangan di lapangan telah dipotong.
Tambah beliau jumlah sebenar mereka yang terjejas teruk adalah tiga atau empat kali ganda lebih ramai jika tanggungan pekerja diambil kira.
Ismail berkata kerajaan gagal memahami bahawa kebanyakan pekerja syarikat penerbangan di Malaysia menerima gaji asas yang rendah dan bergantung kepada elaun.
Bagaimanapun, elaun ini dikurang atau dibekukan selain gaji terpaksa dipotong apabila Malaysia dan banyak negara lain menggantung penerbangan untuk mengekang wabak Covid-19. – 7 Jun, 2020.
Komen