3 kematian akibat Covid-19, 147 kes baharu


MALAYSIA merekodkan tiga kematian akibat Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 133 orang.

Sebanyak 147 jangkitan baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam terakhir.

Majlis Keselamatan Negara berkata daripada 147 jangkitan baharu, 143 adalah penularan tempatan.

Kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif jangkitan di negara ini kepada 10,505 dan jumlah kes aktif sebanyak 770. 

Pada sidang media Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah kemudian berkata dua daripada tiga kematian berlaku di Sabah.

Salah seorangnya adalah wanita berusia 48 tahun yang mempunyai sejarah diabetes dan tekanan darah tinggi.

Dia mengalami gegala seperti keletihan, muntah, batuk dan demam sejak 14 September sebelum dimasukkan ke Hospital Tawau pada 18 September dalam keadaan separuh sedar.

Dia meninggal dunia pada keesokan harinya dan disahkan positif Covid-19 semalam.

Kematian kedua di Sabah melibatkan seorang lelaki berusia 54 tahun yang dirawat di Hospital Semporna kerana demam, batuk dan sukar bernafas.

Kematian ketiga adalah dari kluster Tawar di Kedah melibatkan seorang lelaki berusia 72 tahun yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah jam 4.30 pagi tadi.

Jangkitan tempatan

Sabah sekali lagi menyumbang jumlah jangkitan tertinggi – 134 – kes kepada 143 jangkitan tempatan hari ini.

Dua daripadanya daripada kluster baharu yang dipanggil Udin di Tawau.

Negeri ini kini mempunyai lapan kluster aktif dengan kluster penjara Benteng Lahad Datu menyumbang 105 kes.

Negeri-negeri lain menyaksikan jangkitan tempatan baharu iaitu lima di Kedah, Selangor (2), Kelantan (1) dan Kuala Lumpur (1).

115 kes tempatan melibatkan warga Malaysia sementara 28 yang lain adalah warga asing.

Sementara itu 39 pesakit pulih dalam tempoh 24 jam terakhir menjadikan jumlah pesakit pulih seramai 9,602 orang. – 23 September, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen