SATU kluster baharu dikenali sebagai Kluster Sungai dikesan di Kedah melibatkan kes indeks seorang anggota kesihatan di pusat perubatan di negeri berkenaan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes indeks itu (kes ke-9455) bergejala sejak 30 Ogos lepas, tetapi tidak mendapatkan rawatan, namun ujian saringan Covid-19 pada 5 Sept mendapati beliau positif dengan wabak itu.
“Kes kedua kluster ini (kes ke-9456) pula merupakan anggota kesihatan di pusat perubatan di Kedah. Beliau merupakan kontak rapat kepada kes indeks. Beliau bergejala sejak 5 Sept dan mendapatkan rawatan di pusat perubatan yang sama dan didapati positif.
“Kedua-dua kes dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan terkini Covid-19 hari ini.
Susulan itu, Dr Noor Hisham berkata pengesanan kes secara aktif serta saringan kontak rapat telah dijalankan; dan sehingga hari ini seramai 57 orang disaring.
Beliau berkata daripada jumlah itu, dua kes dikesan positif manakala 55 individu masih menunggu keputusan.
Sementara itu, Dr Noor Hisham melalui hantaran di laman Twitter rasminya, berkata empat kluster hari ini telah tamat tempoh pengawasan dan pemantauan selama 28 hari iaitu Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga, Kluster Muda, Kluster Meranti dan Kluster Kurau.
Kluster PUI Sivagangga merekodkan 45 kes, Kluster Muda (tiga kes), Kluster Meranti (dua kes) dan Kluster Kurau (lima kes). – Bernama, 7 September, 2020.
Komen