Jangkitan Covid-19 melonjak 62, dengan 51 kes di Sabah


MALAYSIA menyaksikan lonjakan drastik dalam kes Covid-19 dengan 62 jangkitan baharu dilaporkan dalam 24 jam terakhir, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut 51 jangkitan merupakan kes di Sabah. 

“Sebanyak 56 kes merupakan penularan tempatan manakala enam yang lain kes import,” katanya.

Kes penularan tempatan melibatkan 30 warganegara Malaysia manakala 26 lagi melibatkan warga asing.

Ini menjadikan jumlah jangkitan nasional sebanyak 9,456 sementara kes aktif berjumlah 207. 

Ini merupakan lonjakan tertinggi dalam kes sejak 4 Jun, apabila 277 kes baharu dikesan.

Sebanyak 50 kes yang dilaporkan hari ini adalah dari kluster Benteng Lahad Datu yang berasal dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Kluster ini ditemui pada 1 September selepas dua pendatang tanpa izin yang ditahan di lokap berkenaan diuji positif koronavirus.

Sementara itu satu lagi kes yang tidak berkaitan ditemui di Hospital Lahad Datu apabila pesakit dengan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) disahkan positif.

Di Kedah dua kes yang berkaitan dengan kluster Sungai dikesan sementara kluster Telaga menyaksikan satu jangkitan baharu.

Kes lain ditemui di negeri ini selepas pesakit simptomatik di klinik pergigian di Alor Setar diuji.

Kes tempatan terakhir pula ditemui di Pulau Pinang melibatkan individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 lain.

Sembilan pesakit dibenarkan keluar dari hospital dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan 9,124 pesakit pulih akibat wabak Covid-19.

Tiada kematian dilaporkan menjadikan angka kematian kekal 128 orang.

Sementara itu seramai enam pesakit kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) manakala empat daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – 7 September, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen