KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini enggan mengulas tuduhan bahawa kementerian itu bersalah kerana gagal memastikan menteri Khairuddinn Aman Razali dikuarantin selepas pulang dari Turki.
Noor Hisham berkata sebarang komen berkenaan perkara itu boleh menjejaskan kes berkenaan yang sedang dalam siasatan.
“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, kes sedang disiasat polis. Oleh itu lebih baik kita merujuk perkara itu kepada polis.
“Kerana jika kita memberi komen (mengenai masalah ini) itu mungkin mengganggu siasatan polis,” katanya.
Dr Noor Hisham menjawab soalan berhubung dakwaan kementerian “lalai” sehingga menyebabkan Khairuddin diserang terutama di media sosial.
Pada Sabtu Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menyalahkan Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Kesihatan kerana gagal memastikan Khairuddin menjalani kuarantin.
Hashim berkata menteri itu seharusnya diberikan gelang merah jambu tetapi itu tidak berlaku, oleh itu kesalahan perlu diletakkan sepenuhnya kepada kementerian.
“Bukan salahnya…Kementerian Kesihatan lalai, begitu juga Kementerian Luar Negeri, menyebabkan dia diserang,” kata Hashim.
Khairuddin yang merupakan ahli Parlimen Kuala Nerus diserang sejak tindakannya melanggar perintah kuarantin didedahkan oleh ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Parlimen pada 18 Ogos.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan mengumumkan Khairuddin sudahpun dikenakan kompaun RM1,000 atas kesalahan tersebut pada 7 Ogos.
Khairuddin pulang ke Malaysia pada 7 Julai.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin minggu lalu menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan ke atas menteri tersebut.
Tindakan Khairuddin melanggar perintah kuarantin itu mencetus cemuhan dan kritikan orang ramai yang membandingkannya dengan tindakan keras dikenakan ke atas individu lain bagi kesalahan sama. – 1 September, 2020.
Komen