12,870 individu disaring di PKPD Amanjaya, kata KP Kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dianggarkan seramai 9,490 orang di Amanjaya, Sungai Petani, Kedah masih belum menjalani saringan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Septemner, 2020.

SERAMAI 12,870 orang disaring di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar secara pentadbiran membabitkan tiga zon iaitu Zon Kenanga, Zon Mawar dan Zon Melur di Amanjaya, Sungai Petani, Kedah, sehingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, satu kes dikesan positif, 12,687 individu negatif dan 182 individu masih menunggu keputusan.

Beliau, bagaimanapun berkata dianggarkan seramai 9,490 orang masih belum menjalani saringan wabak tersebut.

“Meskipun jumlah anggaran ini masih dalam semakan, pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) menyeru dan merayu mereka yang belum menjalani saringan untuk segera tampil ke pusat saringan yang disediakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pelaksanaan PKPD Bersasar di Amanjaya, Sungai Petani berkuat kuasa pada 28 Ogos sehingga satu tempoh yang akan diumumkan kelak, melibatkan sejumlah 22,360 isi rumah merangkumi 265 kediaman.

Mengenai satu kes baharu melibatkan Kluster GV Glen hari ini, Dr Noor Hisham berkata pesakit adalah isteri kepada kes positif kluster itu yang dilaporkan pada 30 Ogos (kes ke-9332).

“Beliau dikenal pasti susulan aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat.

“Sehingga hari ini, seramai 58 orang disaring dengan tiga dikesan positif; 16 individu negatif dan 39 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Susulan kluster melibatkan kapal itu, Dr Noor Hisham berkata KKM bersama Jabatan Laut Malaysia terus memantau dan memperketatkan sempadan negara di perairan Malaysia menerusi pelbagai prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan bagi pelaut yang memasuki negara termasuk saringan ‘sign-on’ dan ‘sign-off’.

“Proses pertukaran anak kapal bermula daripada sign-on ke kapal sehingga sign-off dari kapal dan proses kuarantin wajib di stesen kuarantin yang diwartakan kerajaan.

“Proses ini akan terus dipantau dan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya,” kata beliau. – Bernama, 2 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen