MALAYSIA hari ini mencatatkan 14 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan seramai 9,373 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata setakat tengah hari ini terdapat empat pesakit pulih menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 9,083.
Setakat ini terdapat 163 kes aktif.
“Dari 14 kes baharu, empat adalah kes import melibatkan dua rakyat Malaysia dan dua warga asing yang pulang dari Singapura dan Filipina.
“Sementara baki 10 jangkitan tempatan melibatkan enam rakyat Malaysia dan empat warga asing,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata dari 10 jangkitan tempatan, tiga dari kluster Tawar sementara satu dari kluster Telaga.
“Selebihnya enam individu melibatkan dua rakyat Malaysia dan empat warga asing adalah dari kluster Lahad Datu,” katanya.
Sehingga kini terdapat empat kes positif yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di mana tiga kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Tidak ada kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini. Jumlah kematian di Malaysia kekal pada 128 kes. – 3 September, 2020.
Komen