PKR memecat empat pemimpin yang rapat dengan bekas timbalan presiden Azmin Ali, lapor Malaysiakini.
Mereka adalah ketua Wanita PKR Haniza Talha, ketua wanita Pulau Pinang Nur Zarina Zakaria, dua Adun Pulau Pinang Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh).
Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR membuat keputusan itu semasa mesyuarat hari ini.
Pemimpin yang menghadiri mesyuarat itu mengesahkan pemecatan berkenaan kepada Malaysiakini.
Portal itu melaporkan bahawa parti itu menggantung keahlian Haniza dan Afif pada Mei lalu.
Haniza, yang juga Adun Lembah Jaya dari Selangor, kemudiannya membentuk sebuah NGO bernama Nation of Women, yang mendapat sokongan daripada pemimpin wanita lain yang berpihak kepada Azmin.
Afif pula mengetuai NGO Pemuda Negara. Kedua-dua NGO ini dipercayai dipersiapkan untuk menjadi sayap wanita dan belia kepada Parti Negara yang akan ditubuhkan oleh Azmin.
Afif juga baru-baru ini berkata beliau akan duduk sebagai wakil Bersatu dalam sidang DUN Pulau Pinang.
Azmin dan sepuluh yang lain berpaling tadah daripada PKR pada bulan Februari untuk menyokong pembentukan Perikatan Nasional menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang. – 28 Jun, 2020.
Komen