WANITA PKR Selangor mengumumkan teguh bersama parti dan kepimpinan presiden Anwar Ibrahim, selepas timbalan ketua sayap Dr Daroyah Alwi hari ini keluar parti.
Tiga Adun PKR juga mengikrar sokongan mereka kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
“Pemimpin datang dan pergi namun matlamat tidak akan pernah goyang, malah pimpinan sedia ada mempunyai kualiti dan kepimpinan yang teguh untuk terus memacu sayap ini ke hadapan di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim dan Amiruddin Shari di peringkat pusat dan juga negeri,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Mereka juga menyebut tidak terkejut malah telah menjangka lebih awal langkah Daroyah.
“Kami telah bersiap sedia untuk meneruskan agenda reformasi seterusnya mempertahankan kerajaan negeri Selangor,” kata mereka.
Kenyataan dikeluarkan tiga Adun iaitu Juwairiya Zulkifli (Bukit Melawati), Rodziah Ismail (Batu Tiga), dan Rozana Zainal Abidin (Permatang).
Ia turut disertai timbalan ketua Wanita Selangor, Sangetha Jayakumar dan 18 ketua cabang Wanita PKR negeri.
Juwairiya dan Sangetha sebelum ini diketahui antara penyokong bekas timbalan presiden PKR yang dipecat Mohamed Azmin Ali, yang kini bersama Perikatan Nasional (PN)
Daroyah, yang juga timbalan speaker DUN Selangor, mengumumkan keluar parti untuk jadi wakil rakyat bebas yang menyokong PN.
Katanya, beliau keluar PKR kerana hilang kepercayaan dengan kepimpinan Anwar.
Siapa ketua Wanita PKR sekarang?
Sementara itu, dengan tindakan Daroyah, Wanita PKR kehilangan kedua-dua pemimpin atasannya selepas ketuanya Haniza Mohamed Talha digantung keahlian parti pada awal Mei.
Haniza, yang juga Adun Lembah Jaya, digantung kerana didakwa bertemu Azmin dan seorang lagi ahli Parlimen bekas PKR yang bersama PN, Zuraida Kamaruddin.
Haniza dan Daroyah memegang jawatan selepas menang pemilihan parti pada hujung 2018. – 13 Jun, 2020.
Komen