NAIB Presiden PKR Zuraida Kamaruddin menuduh Anwar Ibrahim “merestui” tindakan sayap pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengetepikan tradisi timbalan presiden merasmikan konvensyen sayap parti.
Katanya, sebagai presiden parti Anwar ada kuasa untuk berbuat apa saja.
Beliau dipetik oleh Free Malaysia Today sebenarnya tiada kemelut dalam isu tersebut kerana secara tradisi memang timbalan presiden merasmikan mesyuarat agung Pemuda dan Wanita PKR.
“Tapi kalau presiden sudah merestuinya, nak buat cara begitu, jadi kita biarkan sajalah. Sebab presiden ada kuasa nak buat apa-apa dia suka,” katanya, seperti dipetik portal berita itu.
Zuraida juga dipetik mendakwa keputusan Pemuda PKR membatalkan jemputan kepada Mohamed Azmin Ali adalah sesuatu yang Anwar “harapkan”.
“Tapi sekarang… yalah kalau itu yang presiden harapkan, itulah yang terjadi,” katanya ringkas.
Minggu lalu, Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir mengumumkan pihaknya membatalkan jemputan kepada Azmin untuk merasmikan kongres tahunan sayap itu walaupun majoriti pimpinan sayap yang menang pemilihan parti tidak setuju.
Mereka sebaliknya menjemput Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga timbalan perdana menteri.
Akmal menjelaskan keputusan tidak menjemput Azmin dibuat dalam mesyuarat namun mereka yang setuju itu tidak hadir.
Azmin juga mendakwa ada ” tangan ghaib” yang mendalangi keputusan sayap pemuda itu.
Bagaimanapun ini bukan kali pertama kongres sayap PKR dirasmikan bukan oleh timbalan presiden.
Pada 2014, Kongres Wanita PKR dirasmikan oleh naib presiden ketika itu Nurul Izzah Anwar. Ketua Wanita PKR ketika itu ialah Zuraida.
Kelmarin, Anwar yang ditanya mengenai dakwaan Azmin kononnya ada “tangan ghaib” itu berkata ia keputusan mesyuarat.
Semalam, Setiausaha Pemuda PKR Syukri Razab juga menjelaskan Azmin sendiri sebenarnya punca dirinya tidak dijemput merasmikan kongres sayap pemuda.
Beliau menyebut Azmin konsisten tidak hadir mesyuarat pimpinan parti dan tidak patuh pada disiplin organisasi.
“Individu yang tidak patuh kepada mesyuarat dan disiplin organisasi inilah sebenar-benarnya perosak kepada demokrasi dalam Keadilan.
“Apakah ini yang dimaksudkan mereka sebagai tradisi?
“Janganlah menunggang kalimah tradisi hanya semata-mata untuk kepentingan politik kabilah,” katanya. – 17 November, 2019.
Komen