Nurul Izzah enggan ulas Salleh Said Keruak mahu masuk PKR


Zaim Ibrahim

Pada Disember tahun lalu, Nurul Izzah letak jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2019.

BEKAS Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar enggan mengulas hasrat bekas menteri Barisan Nasional Salleh Said Keruak ingin menyertai PKR, sebaliknya menyerahkan kepada pimpinan parti untuk menentukannya.

“Saya fikir pengarah komunikasi  (PKR, Fahmi Fadzil) telah keluarkan kenyataan. Rujuk (perkara itu) kepada pimpinan utama,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kepada The Malaysian Insight.

“Saya Ketua Cabang Permatang Pauh (sahaja), jadi rujuk kenyataan pengarah komunikasi,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Agung PKR Cabang Permatang Pauh, petang tadi.

Pada Disember tahun lalu, Nurul Izzah letak jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Bapanya Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR kemudian menjelaskan Nurul Izzah berbuat demikian kerana “mual dan muak” dengan politik lompat parti yang berlaku sejak pilihan raya 9 Mei lalu.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah hari ini mengesahkan beliau ada memohon untuk menyertai PKR kerana ia sebuah parti berbilang kaum yang cocok dengan pegangan politiknya dan keadaan semasa di Sabah.

The Malaysian Insight semalam melaporkan permohonan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu ditanda “lulus” pada sistem keahlian dalam talian PKR.

Permohonan itu dibuat pada 25 Ogos lalu.

Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata biro politik parti akan menimbang permohonan berkenaan. – 6 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen