BIRO Politik PKR akan berbincang dan menimbang permohonan bekas menteri Barisan Nasional Salleh Said Keruak untuk masuk parti itu, kata pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil.
Dalam satu kenyataan ringkas, Fahmi mengesahkan Salleh ada membuat permohonan untuk menyertai PKR.
“Berdasarkan rekod, saya difahamkan parti memang ada terima permohonan keanggotaan daripada beliau secara dalam talian.
“Walau bagaimanapun, Biro Politik Keadilan akan membincangkan dan memberi pertimbangan kepada perkara ini dalam mesyuarat yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media, awal malam ini.
Fahmi mengulas laporan The Malaysian Insight bahawa Salleh sudah diterima sebagai ahli PKR cabang Kota Belud.
Keahlian Salleh itu mencetuskan gempar dalam kalangan pemimpin PKR Sabah kerana ia diluar pengetahuan mereka.
Ketua Cabang PKR Semporna Mohd Amin Abdul Mem mendakwa PKR Sabah, yang mempunyai autonomi dalam urusan parti negeri, tidak dibawa berbincang sebelum keahlian Salleh diluluskan, dipercayai oleh pihak di ibu pejabat.
Permohonan keahlian Salleh ditanda “lulus” dalam sistem keahlian dalam talian yang dilihat oleh The Malaysian Insight.
Beliau memohon menyertai PKR pada 25 Ogos lalu.
Pimpinan PKR Sabah hanya dapat tahu bahawa permohonan tersebut telah diluluskan apabila menyemak sistem dalam talian hari ini.
Salleh dan bekas Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia adalah antara lima ahli Parlimen, sembilan wakil rakyat negeri dan 21 ketua bahagian Umno Sabah yang keluar parti pada Disember tahun lalu.
Mereka awalnya menyertai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) dan kemudian tersebar khabar angin, mereka akan masuk PKR.
Spekulasi mereka akan masuk PKR semakin bertiup kencang apabila Presiden PKR Anwar Ibrahim melawat Kota Belud pada 17 September lalu, untuk menghadiri majlis sambutan Hari Malaysia anjuran Pertubuhan Bajau Sabah Bersatu (Usbo).
Pandikar ialah presiden Usbo sementara Salleh jadi penasihat. Pandikar sebelum ini menafikan desas-desus itu. – 5 Oktober, 2019.
Komen