Salleh Said Keruak masuk PKR


Jason Santos

Keahlian bekas ketua menteri Sabah Salleh Said Keruak di dalam PKR mengejutkan pemimpin negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2019.

BEKAS menteri kabinet yang juga bekas Ketua Menteri Sabah Salleh Said Keruak menyertai PKR tanpa pengetahuan atau persetujuan kepimpinan PKR Sabah, dakwa pimpinan parti negeri.

Ketua Cabang PKR Semporna Mohd Amin Abdul Mem berkata bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu kini menjadi ahli parti di Kota Belud dan keahliannya mengejutkan pemimpin parti negeri.

Mohd Amin berkata kepimpinan dan bahagian parti negeri itu sepatutnya diberitahu mengenai keahlian Salleh, yang dipercayai telah diluluskan oleh PKR di peringkat kebangsaan.

Mohd Amin yang juga pengarah pilihan raya PKR Sabah dan ahli Majlis Pimpinan Negeri berkata pemimpin PKR Sabah ada suara untuk menentukan hal ini kerana mereka mempunyai autonomi yang diberikan oleh pimpinan parti di ibu pejabat.

“Ini tidak masuk akal dan bertentangan dengan dasar serta prinsip parti.

“Pimpinan pusat sepatutnya lebih tegas dan berhati-hati apabila menerima bekas pemimpin Umno Sabah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Permohonan keahlian Salleh ditanda “lulus” dalam sistem keahlian dalam talian yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Beliau memohon menyertai PKR pada 25 Ogos lalu.

Pimpinan PKR Sabah hanya dapat tahu bahawa permohonan tersebut telah diluluskan apabila menyemak sistem dalam talian hari ini.

Salleh dan bekas Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia adalah antara lima ahli Parlimen, sembilan wakil rakyat negeri dan 21 ketua bahagian Umno Sabah yang keluar parti pada Disember tahun lalu.

Mereka awalnya menyertai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) dan kemudian tersebar khabar angin, mereka akan masuk PKR.

Pandikar sebelum ini menafikan desas-desus itu.

Spekulasi mereka akan masuk PKR semakin bertiup kencang apabila Presiden PKR Anwar Ibrahim melawat Kota Belud pada 17 September lalu, untuk menghadiri majlis sambutan Hari Malaysia anjuran Pertubuhan Bajau Sabah Bersatu (Usbo).

Pandikar ialah presiden Usbo sementara Salleh jadi penasihat.

Menurut Amin, PKR memerlukan ahli yang sedia berjuang untuk reformasi dan bukannya ahli politik yang hanya memikirkan untung nasib masa depan politik mereka sendiri.

“Walaupun pemimpin pembangkang Sabah terus melompat ke parti pemerintah, PKR Sabah tidak akan terima pemimpin seperti ini kerana kita mesti pertahankan integriti dan hormat mandat rakyat,” katanya.

Salleh jadi Ketua Menteri Sabah antara 1994 dan 1996 ketika sistem penggiliran.

Pada pilihan raya umum yang lalu, beliau bertanding kerusi Parlimen Kota Belud atas tiket Barisan Nasional tetapi kalah kepada anak saudaranya Isnaraissah Munirah Majilis dari Parti Warisan Sabah.

Isnaraissah sekarang Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim Dan Alam Sekitar di Putrajaya.

The Malaysian Insight sudah menghubungi Salleh dan menunggu untuk mendapatkan komennya. – 5 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen