Nurul Izzah letak jawatan naib presiden PKR


Nurul Izzah Anwar, anak kepada Presiden Anwar Ibrahim dan bekas presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan selaku naib presiden dan pengerusi PKR Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2018.

NURUL Izzah Anwar melepaskan semua jawatan dalam PKR dan kerajaan tetapi kekal sebagai ahli parti dan ahli Parlimen.

Katanya, beliau hanya mahu jadi ahli biasa PKR dan ahli Parlimen “yang komited pada pembaharuan”.

Anak sulung kepada presiden parti Anwar Ibrahim itu berkata beliau kesal kerana tidak membuat pengumuman itu lebih awal.

“Saya meletak jawatan sebagai naib presiden PKR dan melepaskan pelantikan sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang.

“Pemimpin (parti) sudah dimaklumkan mengenai keputusan saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga tidak akan berkhidmat untuk kerajaan persekutuan dalam segala kapasiti dan menyerahkan kepada pemimpin parti untuk memutuskan mengenai peranaannya dalam syarikat berkaitan kerajaan.

Pemimpin parti juga akan memutuskan status beliau sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara.

Nurul Izzah berkata, beliau mahu melakukan “perkara yang betul” dengan mengambil kira kedudukannya dalam politik.

Keputusan itu juga dibuat atas kepercayaan dan cita-cita yang saya pegang, kata Nurul Izzah yang turut membangkitkan mengenai peluang menjalankan agenda reformasi susulan 9 Mei.

Semalam, Nurul Izzah menyatakan kekecewaan ke atas tindakan parti kerajaan menerima keahlian pemimpin Umno yang selama ini menyerang dan menghina keluarganya.

“(Ini) pengkhianatan ke atas mandat yang diberikan pada 9 Mei, penghinaan kepada mereka yang setia pada perjuangan,” coretnya di Twitter.

Beliau juga membangkitkan bahawa individu yang menyertai parti kerajaan tersebut bertanggungjawab menyerang mereka selama ini.

“Tiada makanya pada demokrasi jika Malaysia ditadbir oleh elit yang berasaskan politiking,” katanya lagi.

Semalam, bekas ketua menteri Melaka Rahim Tamby Chik menghantar permohonan masuk Bersatu, mengikut jejak langkah beberapa bekas pemimpin Umno yang lain.

Rahim merupakan antara individu yang bertanggungjawab menayangkan satu video hubungan seks pada 2016 yang didakwa memaparkan bapa Nurul, Anwar Ibrahim. – 17 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen