PKR sesuai dengan politik Sabah, kata Salleh Said Keruak


Bekas menteri BN, Salleh Said Keruak berkata beliau mohon masuk PKR kerana parti itu sesuai dengan pegangan politiknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2019.

SALLEH Said Keruak memohon untuk menyertai PKR kerana parti pelbagai kaum itu cocok dengan pegangan politiknya dan keadaan semasa di Sabah, yang beralih kepimpinan politiknya selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Bekas menteri kabinet dan bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata beliau sekarang mahu fokus kepada masa depan negeri, selepas keluar Umno pada akhir tahun lalu.

“Saya ingin membantu PKR dalam membawakan politik progresif berbilang kaum yang mengutamakan kestabilan dan kesederhanaan, terutamanya di negeri Sabah.

“Dalam kancah politik berteraskan kaum dan ekstremis yang boleh menggugat perpaduan serta kestabilan negara ketika ini, saya percaya PKR berada di landasan yang betul untuk menyelamatkan negara daripada bencana ekstremisme,” katanya, dalam satu kenyataan di blognya.

Bekas menteri komunikasi dan multimedia itu mengesahkan beliau sudah memohon secara dalam talian untuk menyertai PKR.

Semalam, The Malaysian Insight melaporkan Salleh sudah diterima sebagai ahli PKR cabang Kota Belud, tanpa pengetahuan pemimpin parti negeri.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dalam reaksinya bagaimanapun berkata biro politik parti akan berbincang dan menimbang permohonan bekas menteri Barisan Nasional itu.

Laporan The Malaysian Insight semalam turut merujuk maklumat permohonan keahlian Salleh pada sistem dalam talian PKR yang bertanda “lulus”.

“Saya percaya langkah yang saya ambil ini adalah langkah yang betul buat diri saya.

“Saya percaya saya boleh menyumbang ke arah kestabilan dan kemakmuran Sabah khususnya, dan Malaysia amnya, menerusi penglibatan saya dalam PKR,” tambah Salleh.

Salleh juga mendakwa, sejak masuk politik sampai sekarang, beliau kekal seorang yang sederhana, progresif dan mendukung kestabilan.

Semasa dalam kabinet Najib Razak, Salleh antara yang kuat mendukung bekas perdana menteri itu semasa hebat dikritik berhubung skandal syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad.

Salleh dan bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia antara lima ahli Parlimen, sembilan wakil rakyat negeri dan 21 ketua bahagian Umno Sabah yang keluar parti pada Disember tahun lalu.

Salleh memimpin Sabah antara 1994 dan 1996 ketika negeri itu mengamalkan sistem penggiliran ketua menteri.

Pada pilihan raya umum yang lalu, beliau kalah kerusi Parlimen Kota Belud kepada anak saudaranya Isnaraissah Munirah Majlis dari Parti Warisan Sabah, yang sekarang timbalan menteri tenaga, teknologi, sains, perubahan iklim dan alam sekitar di Putrajaya.

Kelmarin, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata terserah kepada ahli politik untuk lompat parti tetapi harus ada alasan yang kukuh. Beliau ditanya pendirian pentadbirannya mengenai undang-undang anti lompat parti.

Pada Disember lalu, Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR. Presiden PKR Anwar Ibrahim kemudian menjelaskan anak sulungnya berbuat demikian kerana “mual dan muak” dengan politik lompat parti pemimpin pembangkang selepas pilihan raya umum 9 Mei. – 6 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen