NURUL Izzah melepaskan semua jawatan dalam parti kerana sudah muak dan bosan dengan pihak yang berkomplot dan menipu serta lebih gemar berpolitik daripada membantu rakyat, dedah Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu berkata anak perempuannya itu kecewa dengan perkembangan isu lompat parti dalam kalangan ahli Parlimen untuk menyelamatkan karier politik mereka atau mahu mengukuhkan kedudukan.
“Walaupun dipilih sebagai naib presiden dengan majoriti besar dan dilantik menjadi Pengerusi PKR Pulau Pinang susulan sokongan kuat ketua-ketua cabang di negeri itu, beliau memilih untuk meletak jawatan.
“Ini menunjukkan wujudnya segelintir individu dalam pimpinan parti yang bersikap licik dengan meletakkan ketamakan peribadi melebihi perpaduan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sambil menyifatkan keputusan Izzah sebagai satu kehilangan besar buat PKR dan negara, Anwar meminta semua pihak terutamanya ahli parti agar menghormati keputusan anaknya itu.
“Berikan beliau ruang untuk bertenang dan membuat keputusan tentang tindakan berikutnya.
“Dengan rasa tanggungjawab dan komitmen untuk meletakkan kepentingan rakyat melebihi diri sendiri, saya yakin beliau akan terus berkhidmat dengan baik,” katanya.
Isnin lalu, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu membuat pengumuman mengekutkan apabila melepaskan semua jawatan dalam parti termasuk sebagai naib presiden dan pengerusi parti negeri.
Katanya beliau menyesal kerana tidak mengumumkan perkara itu dengan lebih awal dan kini mahu menumpukan perhatian sebagai ahli Parlimen dalam membantu melakukan pembaharuan dalam kerajaan.
“Saya meletak jawatan sebagai naib presiden PKR dan menolak pelantikan sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang. Saya telah memaklumkan keputusan ini kepada pucuk pimpinan.
“Tugas saya sebagai wakil rakyat Permatang Pauh dan ahli Parlimen akan diteruskans sehingga tamat tempoh.
“Saya juga akan kekal sebagai ahli biasa PKR,” katanya dalam satu kenyataan. – 21 Disember, 2018.
Komen