Adun Sementa Daroyah Alwi keluar PKR


Mohd Farhan Darwis

Adun Sementa Dr Daroyah Alwi (duduk di tengah) bersama sebahagian 48 pimpinan Wanita PKR Selangor, ahli majlis dan pimpinan PKR Cabang Kapar umum keluar PKR pada sidang akhbar hari ini di Shah Alam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Jun, 2020.

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa Dr Daroyah Alwi, yang juga timbalan speaker DUN Selangor, hari ini mengambil keputusan keluar PKR dengan alasan hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti.

Daroyah, yang juga timbalan ketua Wanita PKR, berkata tindakan meninggalkan parti politik yang disertainya 20 tahun itu kerana beliau tidak lagi yakin dengan kepimpinan Anwar Ibrahim selaku presiden parti.

“Setelah berfikir panjang dan menilai perkara terkini yang berlaku dalam PKR, maka saya dengan ini mengumumkan perletakan jawatan sebagai timbalan ketua wanita PKR serta keluar dari PKR berkuatkuasa 13 Jun.

“Keputusan ini dibuat kerana saya hilang rasa yakin dan percaya terhadap presiden parti yang alpa tentang idealisme perjuangan serta halatuju parti, yang kini lebih membawa kepada perpecahan,” katanya pada sidang media, di Shah Alam, hari ini.

Kedudukan 56 kerusi DUN di Selangor kini menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor mempunyai 42 perwakilan iaitu 18 dari PKR, 16 dari DAP dan 8 dari Amanah selain tiga dari Bersatu yang menyokong Dr Mahathir Mohamad.

Pembangkang pula mempunyai 10 kerusi dan 1 bebas.

Daroyah berkata keputusannya sudah dimaklumkan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

“Saya sudah bincang dengan menteri besar. Beliau tak setuju untuk saya buat langkah ini, tetapi bagi saya, saya kena tegas dengan keputusan ini.

“Memang berat kerana 20 tahun kami dalam parti, tapi demi kebaikan bersama sampai masa saya buat keputusan ini,” kata Daroyah.

Turut mengambil tindakan sama adalah 48 pimpinan Wanita PKR Selangor, ahli majlis dan pimpinan PKR Cabang Kapar termasuk pemimpin sayap Wanita dan Angkatan Muda PKR.

Daroyah turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai timbalan speaker DUN Selangor, ketua Wanita PKR Selangor dan ketua Cabang Kapar.

Katanya, kepimpinan PKR hari ini lebih membawa perpecahan berbanding perpaduan apabila berlaku siri terancang pemecatan dan penggantungan ahli parti.

“Presiden bersama pentaksubnya dilihat gagal menjalankan amanah majoriti ahli yang memilih mereka.

“Amat terkilan dan kecewa, yang berjasa menjadi korban. Siri terancang pemecatan dan penggantungan ahli terutama melibatkan rakan seperjuangan yang telah lama memperkasa organisasi dan parti dari awal penubuhan Parti Keadilan Nasional pada 1999 hingga sekarang PKR, nyata meruntuhkan permuafakatan yang selama ini dibina,” kata Daroyah.

Daroyah juga dikatakan menerima notis tunjuk sebab pada 15 Mei lalu kerana mempertahankan barisan kepimpinan Wanita yang dikenakan tindakan tidak adil dan luahan kebimbangannya tentang pengurusan parti kelam-kabut serta tidak teratur.

“Saya tidak mahu terlibat atau dikaitkan dalam kancah perebutan kuasa politik mahupun dalam pembuangan ahli beramai-ramai.

“Tidak seperti dulu, perjuangan PKR sekarang kelihatan bukan lagi untuk agenda reformasi tetapi untuk mendapatkan kuasa semata-mata,” katanya pada sidang media itu.

Beliau mengakui walaupun langkah itu tidak popular, tetapi demi prinsip perjuangannya, Daroyah bersama pimpinan PKR Cabang Kapar tetap dengan pendirian meninggalkan parti.

“Benar, ini bukanlah keputusan popular dan melawan arus, tetapi demi prinsip perjuangan, maruah, dan harga diri, hari ini kami memilih untuk tidak lagi bersama dalam PKR,” katanya. – 13 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen