PRESIDEN PKR, Anwar Ibrahim berkata para pemimpin yang tidak berpuas hati harus bersuara dan bukannya menghasut pengikut, selepas berita 3,000 anggota di Sarawak keluar dari parti itu.
“Jelas, ada puak-puak yang terdesak dalam PKR yang cuba melakukan ini. Para pemimpin yang mendesak ini perlu bersuara dan jangan gunakan ahli bawahan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis di Bangi, Selangor hari ini.
Anwar memberi maklum balas kepada laporan Borneo Post bahawa kira-kira 3,000 anggota PKR cawangan Tanjung Manis di Sarawak telah mengumumkan meninggalkan parti itu secara serta-merta, menyatakan rasa tidak puas hati dengan kepimpinan tertinggi.
Bekas setiausaha cawangan, Hasrol Ali berkata mereka juga turut menentang Anwar menjadi perdana menteri seterusnya.
Anwar berkata beliau meragui cawangan Tanjung Manis mempunyai banyak ahli.
“Saya tidak menganggap terdapat 3000 ahli di sana, ia hanya propaganda, saya ragui nombor itu,” katanya, sambil menambah bahawa mereka yang ingin meninggalkan PKR mempunyai hak untuk berbuat demikian.
Beliau berkata parti itu mempunyai 1.1 juta ahli. – 22 Februari, 2020.
Komen