AHLI Parlimen Batu P. Prabakaran berkata beliau akan terus berkhidmat kepada rakyat walaupun ditekan 14 kumpulan mendesak beliau untuk meletak jawatan.
Prabakaran berkata, laporan yang menggesa beliau supaya memberi laluan kepada bekas Ahli Parlimen Batu Tian Chua untuk bertanding di kerusi itu tidak akan mempengaruhi tugasnya untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Saya ambil sikap positif terhadap desakan kumpulan ini, kerana mereka hanya mahu yang terbaik untuk PKR,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga berkata beliau tidak menghadapi apa-apa tekanan daripada Naib Presiden PKR, Tian Chua untuk meletak jawatan dan memberi laluan kepadanya
“Tian Chua adalah aktivis yang terkenal dan saya tidak ditekan oleh beliau untuk melepaskan jawatan saya sebagai ahli Parlimen,” kata ahli Parlimen berusia 23 tahun itu.
14 kumpulan masyarakat sivil sebelum ini dilaporkan menggesa Prabakaran mengosongkan kerusinya untuk memberi laluan kepada Tian Chua untuk kembali sebagai ahli Parlimen mewakili kawasan itu.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Chua Tian Chang - yang lebih dikenali sebagai Tian Chua - layak bertanding dalam pilihan raya.
Hakim Mariana Yahya dalam penghakimannya bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam bahawa Tian Chua layak dan berhak untuk bertanding dan tidak terjejas dengan denda RM2,000 yang dikenakan terhadap beliau.
Menurut Mariana, seorang ahli Parlimen hanya akan kehilangan hak dan kelayakan untuk bertanding jika denda itu berjumlah RM2,001 atau lebih.
Prabakaran berkata desakan terhadap beliau adalah pendirian beberapa individu dalam organisasi tersebut dan bukannya organisasi itu sendiri.
“Saya berinteraksi dengan pengundi saya setiap hari, dan mereka benar-benar mahukan anak muda yang bersemangat untuk bantu menyelesaikan masalah mereka.
“Saya juga banyak menganjurkan program dan aktiviti.
“Saya secara beransur-ansur menyelesaikan masalah mereka dan dapat menyelesaikan beberapa perkara kompleks yang dihadapi pengundi saya dalam jangka masa pendek.”
Pelajar undang-undang itu mengatakan bahawa beliau bertekad untuk berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah mereka.
Beliau turut menambah bahawa sebagai ahli PKR, beliau akan menyumbangkan tenaga dan usaha untuk kebaikan parti dan merealisasikan agenda parti itu.
“Saya akan berkhidmat kepada rakyat dengan telus dan adil tanpa membiarkan mereka di jalanan.”
Tian Chua, yang merupakan ahli Parlimen dua penggal, tidak dibenarkan bertanding dalam PRU14 kerana beliau didakwa dikenakan denda sebanyak RM2,000 oleh mahkamah.
Prabakaran, yang merupakan pelajar undang-undang ketika itu, bertanding sebagai calon bebas mendapat sokongan kuat dari Tian Chua dan pemimpin Pakatan Harapan yang turut menyertai kempennya.
Beliau kemudian memenangi kerusi itu dalam pertandingan empat penjuru dengan memperoleh majoriti 24,438 undi berbanding saingan utamanya daripada Barisan Nasional, Dominic Lau.
Pada bulan Mei 2018, beliau muncul sebagai ahli Parlimen termuda yang pernah dipilih di Malaysia mengumumkan menyertai PKR selepas memenangi kerusi tersebut. – 14 November, 2019.
Komen