Kem Azmin dalam PKR menyesal bagi sokongan, kata Anwar


Alfian Z.M. Tahir

Anwar Ibrahim berkata kalangan ahli Parlimen dan Adun PKR yang pro-Azmin kini menyesal kerana pernah menyokong ahli Parlimen Gombak itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2020.

PEMIMPIN PKR yang setia kepada bekas timbalan presiden Azmin Ali tidak mengetahui plotnya untuk membentuk kerajaan pintu belakang dengan parti lain, kata Anwar Ibrahim.

Presiden parti itu berkata beliau dimaklumkan perkara itu oleh penyokong setia Azmin sendiri.

Anwar berkata kalangan ahli Parlimen dan ahli dewan undangan negeri (Adun) PKR yang pro-Azmin kini menyesal kerana pernah menyokong ahli Parlimen Gombak itu.

“Saya diberitahu bahawa mereka tidak tahu tentang perjanjian pintu belakang itu. Mereka kecewa kerana tidak dimaklumkan tentang perkara itu.

“Mereka juga langsung tidak tahu tentang perjanjian itu, saya kita tidak boleh salahkan mereka,” kata Anwar kepada media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini selepas mempengerusikan satu mesyuarat.

“Mereka berasa tertipu dan tiada pihak memberitahu mereka tentang konspirasi untuk menumbangkan kerajaan (Pakatan Harapan),” kata Anwar.

Azmin dan bekas Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin dipecat dari parti itu pada minggu lalu selepas berkomplot dengan Bersatu, Umno dan PAS untuk membentuk kerajaan baharu.

Komplot itu diketuai Muhyiddin Yasssin yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pagi ini selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Bagaimanapun Dr Mahathir Mohamad dan parti Pakatan Harapan (PH) termasuk PKR, DAP dan Amanah mempertikaikan pelantikan Muhyiddin.

Anwar berkata beliau kini berusaha mengekang kekecewaan kalangan ahli PKR yang marah dengan kem Azmin dan penyokongnya.

Beliau juga kesal dengan insiden di depan ibu pejabat parti apabila segelintir ahli PKR menyerang Tian Chua, Amirudin Shari dan Dr Afif Bahardin yang diketahui penyokong setia Azmin.

Tian ditampar dan ditumbuk ketika diiring ke keretanya.

Amirudin yang merupakan Menteri Besar Selangor dan Dr Afif, Adun Seberang Jaya, turut diejek dan dihina. – 1 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen