Pekerja tempatan paling terjejas akibat boikot, kata duta AS


Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia, Edgard D Kagan berkata tindakan memboikot perniagaan yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Israel hanya akan merugikan rakyat Malaysia.– Gambar Youtube, 2 April, 2024.

USAHA berterusan memboikot perniagaan yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Israel hanya akan merugikan rakyat Malaysia, terutamanya pekerja tempatan, kata Duta Besar Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, Edgard D Kagan hari ini.

Bercakap kepada media dalam sidang media pertamanya di Kedutaan AS di Kuala Lumpur, Kagan berkata dua jenama yang berdepan tindakan boikot itu masing-masing dimiliki oleh syarikat Malaysia dan entiti Saudi.

Walaupun beliau tidak menamakan kedua-dua jenama itu, dua jenama popular yang bergelut dengan seruan boikot ialah Starbucks dan McDonald’s.

Starbucks di Malaysia dimiliki oleh Berjaya Group manakala McDonald’s dimiliki oleh sebuah syarikat Arab Saudi.

“Saya bersyukur boikot (di Malaysia) berjalan dengan aman.

“Saya rasa ia adalah malang kerana akhirnya, seperti kebanyakan anda tahu, dua cawangan utama diboikot. Satu dimiliki rakyat Malaysia dan satu lagi milik Saudi.

“Orang yang terjejas akibat boikot ini pekerja rakyat Malaysia. Mungkin ada kepuasan simbolik dalam melakukannya, tetapi pada hakikatnya, orang yang benar-benar terjejas bukanlah Israel dan bukannya AS,” katanya.

Pertubuhan tempatan menggesa boikot terhadap jenama berkaitan AS dan Israel berikutan serangan tentera Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Walaupun banyak jenama telah disasarkan, McDonalds dan Starbucks yang mempunyai cawangan di seluruh Malaysia mengalami kesan terbesar.

Kagan juga berkata kerajaan AS komited untuk menghormati perhimpunan aman dan protes.

“Saya berbohong jika saya menyatakan kami teruja kerana orang melihat kami sebagai cara untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Israel.

“Tetapi saya faham itu adalah realiti praktikal, dan kami faham ini mencerminkan sentimen rakyat Malaysia.

“Kami sangat menyokong hak untuk mengadakan bantahan secara aman dan, jelas, pilihan kami adalah supaya mereka tidak melihat kami sebagai cara untuk menyatakan ketidakpuasan terhadap Israel, kerana kami bukan Israel,” katanya. – 2 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen