AS, UK serang puak Houthi di Yaman


Houthi meningkatkan serangan di Laut Merah sejak perang Israel-Hamas bermula 7 Oktober lalu tetapi mendakwa hanya menyerang kapal yang ada kaitan dengan Israel atau sekutunya. – Gambar AFP, 11 Januari 2024.

AMERIKA Syarikat (AS) dan sekutunya Britain menyerang puak Houthi di Yaman selepas pemberontak disokong Iran itu terus menyerang laluan perkapalan di Laut Merah.

Laporan media AS turut disokong kenyataan saksi yang menyaksikan serangan udara terbabit di beberapa bandar sekitar Yaman yang dikawal Houthi seperti ibu negara Sanaa, Hodeida dan Saada.

Serangan itu membabitkan jet pejuang dan peluru berpandu Tomahawk, namun pihak berkuasa AS sendiri tidak mengesahkannya apabila dihubungi AFP.

Houthi meningkatkan serangan di laluan laut antarabangsa utama kapal dagang sejak perang Israel-Hamas bermula 7 Oktober lalu tetapi mendakwa hanya menyerang kapal yang ada kaitan dengan Israel atau sekutunya.

Keadaan itu bertukar menjadi perang proksi antara Houthi yang menyokong Palestin dan AS serta Britain yang bersekutu dengan Israel, sekali gus menyebabkan ketegangan semakin bertambah di Asia Barat.

Sementara itu, puak Houthi mendakwa mereka hanya membalas tindakan Israel menyerang Semenanjung Gaza, dengan turut melancarkan siri serangan dron dan peluru berpandu ke arah Israel.

Washington menyelaras satu gabungan set antarabangsa pada Disember, dikenali sebagai “Operasi Penjaga Kemakmuran’ bagi menjaga keamanan laluan trafik maritim di perairan digunakan 12% daripada dagangan dunia.

Sejumlah 12 negara menyertai gabungan diterajui AS itu dan memberi amaran kepada Houthi supaya menghentikan serta merta serangan terhadap kapal dagang atau menghadapi akibatnya.

Namun, Selasa lalu, Houthi melancarkan apa yang disebut London sebagai serangan terhebat mereka, memaksa AS dan Britain menembak jatuh 18 dron dan tiga peluru berpandu.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) juga menggesa semua serangan di Laut Merah dihentikan dengan amaran ia semakin mengancam kestabilan dan keselamatan serantau.

Peningkatan serangan menyebabkan trafik perdagangan di Laut Merah berkurangan 40% selepas kebanyakannya dilencongkan ke Tanjung Harapan di Afrika Selatan, sekali gus menggugat ekonomi global. – AFP, 12 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen