1 April keputusan permohonan kedutaan AS cabar perintah bayar bekas jaga RM66,000


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendengar permohonan semakan kehakiman difailkan kedutaan Amerika Syarikat bagi membatalkan perintah membayar seorang bekas pengawal keselamatan kerana pemecatannya secara salah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2024.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 1 April ini untuk keputusan permohonan semakan kehakiman difailkan kerajaan Amerika Syarikat (AS) bagi membatalkan award berjumlah RM66,000 yang diberikan oleh Mahkamah Perusahaan kepada seorang bekas pengawal keselamatan yang bertugas di Kedutaan AS kerana pemecatannya secara salah.

Hakim Amarjeet Singh menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Lim Heng Seng yang mewakili kerajaan AS, peguam Ragunath Kesavan mewakili bekas pengawal keselamatan L Subramaniam dan Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin selaku amicus curiae atau sahabat mahkamah.

“Mahkamah akan menyampaikan keputusan itu secara e-mel,” kata Hakim Amarjeet.

Pada 9 Ogos tahun lepas, kerajaan AS selaku pemohon memfailkan permohonan baharu itu dengan menamakan Mahkamah Perusahaan dan Subramaniam sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam permohonan itu, pemohon memohon perintah untuk membatalkan award yang diberikan oleh Mahkamah Perusahaan pada 2023 kepada Subramaniam.

Kerajaan AS turut memohon perintah mahkamah agar pemecatan Subramaniam kerana salah laku disiplin dalaman kedutaan negara itu, dan negara terbabit serta kedutaannya dilindungi imuniti daripada bidang kuasa Mahkamah Perusahaan berkenaan dengan tuntutan Seksyen 20 (3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Selain itu, kedutaan terbabit memohon semua prosiding berkenaan Award Mahkamah Perusahaan ditangguhkan sehingga permohonan semakan kehakiman itu selesai.

Pada 8 Januari 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan AS dan kedutaannya dilindungi oleh imuniti serta mengarahkan Mahkamah Perusahaan tidak mendengar kes pemecatan salah Subramaniam. 

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2021 mengetepikan keputusan itu dan memerintahkan Mahkamah Perusahaan meneruskan pendengaran tuntutan tersebut yang menyebabkan kerajaan AS merayu ke Mahkamah Persekutuan, namun rayuan itu ditolak.

Pada 27 April 2023, Mahkamah Perusahaan memberikan award berjumlah RM66,000 kepada Subramaniam sebagai pampasan selepas mendapati kedutaan itu memecat beliau secara salah.

Sebelum ini, Subramaniam mendakwa beliau telah dipecat secara salah pada 2008 selepas bertugas lebih 10 tahun dengan Kedutaan AS.

Dakwa Subramaniam, 56, beliau hanya menjalankan tugas sebagai pengawal keselamatan di kedutaan itu dan tidak terlibat dengan fungsi diplomatik atau keputusan kerajaan AS selain tidak memiliki sebarang akses kepada maklumat atau dokumen sulit yang berkaitan dengan kedutaan itu atau kerajaan AS. – Bernama, 16 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen