Puad bidas pemimpin Bersatu berhubung dakwaan ahli Parlimen sokong Perikatan


AHLI Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi menyindir Mohd Redzuan Md Yusof dari Bersatu kerana mencadangkan 10 ahli Parlimen kerajaan akan menukar sokongan mereka kepada Perikatan Nasional.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2023.

AHLI Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi menyindir Mohd Redzuan Md Yusof dari Bersatu kerana mencadangkan 10 ahli Parlimen kerajaan akan menukar sokongan mereka kepada Perikatan Nasional (PN).

Puad berkata, teori Redzuan mungkin berlaku sekiranya ‘kereta terbang’ yang dirancang bekas ahli Parlimen itu benar-benar boleh terbang.

“Ahli MPT Bersatu Mohd Redzuan Md Yusof dakwa mungkin 10 ahli Parlimen Kerajaan akan beralih sokongan kepada PN.

“Itu memang kejutan. 

“Tetapi itu hanya akan berlaku jika “kereta terbang” yang dirancang oleh Redzuan masa jadi Menteri dulu “boleh terbang”.

“Selagi kereta terbang mustahil terbang, maka 10 orang ‘batch’ pertama itu juga mustahil ‘terbang’ ke PN,” kata Puad dalam satu kenyataan di Facebook. 

Puad merujuk kepada pengumuman yang dibuat Redzuan semasa berkhidmat sebagai menteri pembangunan usahawan dalam kerajaan Pakatan Harapan yang ketika itu dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, Redzuan mendakwa 10 ahli parlimen itu terdiri daripada daripada pelbagai parti, termasuk PKR, yang akan menjadi “kumpulan pertama” untuk beralih sokongan, kerana kekecewaan terhadap kerajaan campuran yang “dipimpin oleh DAP”.

“Daripada membuat spekulasi mengenai lebih ramai ahli Parlimen Bersatu menyokong kerajaan, saya rasa desas-desus ahli parlimen blok kerajaan, termasuk daripada BN dan PKR, menyokong PN untuk membentuk kerajaan baharu, adalah lebih realistik.

“Saya dengar lebih 10 ahli Parlimen mahu bertukar blok. Mereka sedang mengkaji masalah yang melanda kerajaan hari ini dan menyedari ia dipimpin oleh DAP,” kata Redzuan kepada pemberita.

Beliau bagaimanapun enggan menamakan 10 ahli Parlimen yang didakwa mempertimbangkan pertukaran itu dan tidak memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menolak dakwaan Redzuan.

Beliau berkata ahli politik pembangkang harus berhenti mengeluarkan kenyataan yang akan mengelirukan orang ramai.

Menurutnya ahli politik Bersatu mungkin berada dalam keadaan panik memandangkan keadaan semasa.

Selasa lalu, Ahli Parlimen Bukit Gantang Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyatakan sokongannya terhadap Anwar. 

Sebelum ini, empat Ahli Parlimen Bersatu mengalihkan sokongan mereka kepada kepimpinan Anwar.

Mereka adalah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Zahari Kechik (Jeli). – 3 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen