Tiada keperluan adakan EGM Umno, kata Puad


Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi berkata pemilihan parti yang diadakan pada Mac tahun ini jelas telah mengemukakan satu pasukan pemimpin untuk mengambil alih parti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2023.

TIDAK ada keperluan untuk mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk membincangkan pemilihan Umno baru berikutan kekalahan besar parti dalam pilihan raya negeri baru-baru ini, kata ahli majlis tertinggi parti Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata pemilihan parti yang diadakan pada Mac tahun ini jelas telah mengemukakan satu pasukan pemimpin untuk mengambil alih parti.

“Pada saya tidak perlu. Pemilihan parti telah dibuat tahun lalu dari peringkat naib presiden sampai ke cawangan. 

“Naib presiden orang baru dan majoriti ketua Bahagian juga orang baru,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab gesaan segelintir pihak dalam parti supaya diadakan EGM bagi memutuskan kepimpinan parti berikutan kegagalan parti dalam pilihan raya enam negeri baru-baru ini.

Terdapat segelintir pihak menggesa presiden parti Ahmad Zahid Hamidi berundur kerana kekalahan itu.

Puad bagaimanapun berkata adalah lebih baik Umno membuat post mortem terperinci di semua peringkat dan laksanakannya kerana ia lebih mikro dan fokus.

Sebelum ini, veteran Umno Tengku Razaleigh berkata Umno perlu mengadakan pilihan raya dalaman yang baharu sebagai satu-satunya cara untuk meremajakan diri berikutan prestasi buruknya dalam enam pilihan raya negeri.

Parti itu memenangi hanya 19 daripada 108 kerusi yang ditandinginya di Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos.

Zahid mengambil alih jawatan presiden berikutan keputusan Najib Razak untuk tidak bertanding berikutan keputusan buruk pilihan raya umum 2018.

Parti itu mengalami kekalahan yang lebih teruk dalam pilihan raya umum November lalu.

Dalam pemilihan parti Mac lalu, Zahid mengekalkan jawatannya sebagai presiden berikutan peraturan dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan.

Beliau juga telah memecat atau menggantung ramai pengkritiknya daripada parti. – 24 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen